Tiada calon lain jika Sultan tolak Wan Azizah, kata PKR - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tiada calon lain jika Sultan tolak Wan Azizah, kata PKR

Sultan Selangor dilaporkan tidak memberi perkenan terhadap pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB Selangor, menurut PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Ogos, 2014.
PKR tetap kekal dengan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Menteri Besar Selangor walaupun walaupun berdepan kemungkinan Sultan Selangor menolak pencalonan presiden parti itu sekaligus memberi laluan pilihan raya negeri diadakan.

Pendirian tersebut dinyatakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang berkata keputusan sudah dicapai dan hanya nama Dr Wan Azizah dihantar kepada istana.

"Kita tidak bincang langsung mengenai perkara itu," kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider apabila ditanya mengenai langkah seterusnya jika Sultan menolak presiden PKR tersebut.

Saifuddin berkata mereka menanti maklum balas daripada pihak istana selepas nama Dr Wan Azizah dihantar sebagai pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Kita cuma tunggu sahaja maklum balas daripada Tuanku," katanya.

Mengenai kemungkinan Dr Wan Azizah ditolak, Saifuddin berkata langkah susulan belum diputuskan kepimpinan ketika ini.

"Ia masih belum berlaku dan belum bincang," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar, kanan) berkata mereka akan melalui proses mengikut perlembagaan dan undang-undang dalam usaha menggantikan Khalid.

"Kita akan guna proses perlembagaan dan undang-undang. Prosesnya adalah dengan menghantar nama terlebih dahulu dan dalam isu ini, majoriti sokongan kepada Dr Wan Azizah adalah jelas," kata Rafizi kepada The Malaysian Insider.

Rafizi juga tidak memberitahu mengenai langkah seterusnya jika Sultan Selangor menolak Dr Wan Azizah, sambil berkata tidak mahu membuat "spekulasi".

"Tidak apa, kita guna dahulu proses Perlembagaan. Buat ketika ini, kita tidak mahu berspekulasi," katanya.

Awal hari ini, The Malaysian Insider memetik pakar perundangan sebagai tidak menolak Sultan Selangor masih boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan semula.

Peguam Abdul Shukor Ahmad berkata merujuk kepada kes Mahkamah Persekutuan pada 2010 melibatkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Zambry Abdul Kader, sultan mempunyai pilihan mengarahkan peletakan jawatan MB kerana hilang sokongan majoriti ahli DUN.

Shukor berkata Sultan juga boleh memanggil sidang tergempar dan mengarahkan MB menguji sokongan di DUN.

"Sekiranya menteri besar hilang sokongan undi, beliau perlu meletakkan jawatan. Sultan juga boleh membubarkan DUN sekiranya Tuanku menerima saranan menteri besar," katanya kepada The Malaysian Insider.

Spekulasi bertiup kencang mengatakan Sultan Selangor tidak akan memperkenankan Dr Wan Azizah menjadi MB.

PAS sebelum ini menamakan dua calon MB selepas presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dititahkan mengadap Sultan.

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata ia bagi mengelakkan kemungkinan pihak istana menolak pencalonan Dr Wan Azizah.

PKR bertegas mengemukakan satu nama walaupun PAS pada awalnya mahu dua nama dikemukakan apabila mencadangkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai calon alternatif.

Bagaimanapun, mesyuarat Pakatan Rakyat sebulat suara memutuskan nama Dr Wan Azizah sahaja dipersembahkan kepada istana. - 20 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-calon-lain-jika-sultan-tolak-wan-azizah-kata-pkr#sthash.esIsd8Wp.dpuf
0 Komentar untuk "Tiada calon lain jika Sultan tolak Wan Azizah, kata PKR "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI