BANDAR TUN RAZAK – Ramai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih kurang faham dengan sistem pinjaman yang diguna pakai sebaliknya terus menuduh PTPTN mengenakan caj yang tinggi dan berganda.

Pengurus Besar Kanan Pejabat PTPTN Pahang, Tuan Din Tuan Mat, berkata, hakikatnya tabung itu hanya mengenakan caj mengikut baki berkurangan manakala peminjam yang membuat bayaran mengikut jadual ditetapkan  diberi diskaun 10 peratus.

“Masih ramai kalangan peminjam menuduh PTPTN dengan memberi gambaran yang negatif sebaliknya sistem terkini yang diguna pakai berpatutan serta tidak membebankan.

“Sebelum ini PTPTN mengenakan tawaran konvensional sebanyak 3 peratus tetapi dikurangkan kepada 1 peratus mengikut konsep Ujrah yang diperkenalkan,” katanya.

Menurut Tuan Din, PTPTN menzahirkan hasrat dalam memudahkan urusan peminjam dengan membuka ruang untuk berunding untuk penjimatan.

“Sekiranya peminjam tidak mampu membuat bayaran balik hutang, boleh hadir ke pejabat PTPTN yang terdekat untuk buat perundingan penstrukturan semula hutang.

“Peminjam juga tidak perlu menunggu tindakan undang-undang dikenakan sebaliknya cepat bertindak supaya masalah pembayaran balik hutang boleh diselesaikan segera,” katanya.