Jabatan Peguam Negara akan mohon mencelah dua kes hak jagaan anak - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Jabatan Peguam Negara akan mohon mencelah dua kes hak jagaan anak



PUTRAJAYA, 27 Jun –  Jabatan Peguam Negara akan memohon untuk mencelah dalam prosiding dua kes hak penjagaan anak membabitkan ibu bapa Islam dan bukan Islam, yang menimbulkan konflik bidang kuasa Mahkamah Syariah serta Mahkamah Tinggi. 
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata kes pertama membabitkan S Deepa dan Izwan Abdullah @ N Viran di Negeri Sembilan manakala kes kedua membabitkan Indira Gandhi dan Mohamad Riduan Abdullah @ K Pathmanathan di Perak. 
“Kedua-dua kes ini telah menimbulkan persoalan perlembagaan berhubung dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil khususnya dari segi tafsiran Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. 
“Memandangkan kedua-dua kes ini telah menjadi suatu kes kepentingan awam yang menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menggugat ketenteraman awam serta persoalan perlembagaan yang wujud dalam kedua-dua kes tersebut, jabatan akan memohon untuk mencelah dalam prosiding kedua-dua kes itu di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
Abdul Gani berkata, beliau juga akan memohon penggantungan pelaksanaan perintah yang dikeluarkan oleh kedua-dua mahkamah terhadap Polis Diraja Malaysia. 
Dalam kes pertama, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban memberi Perintah Jagaan kedua-dua anak bernama Nur Nabila Izwan (V Sharmila), 8, dan Muhammad Nabil Izwan (V Mithran), 5, kepada bapa mereka yang memeluk Islam pada 19 September 2013. 
Perintah itu kemudian dipinda pada 7 Oktober 2013 dengan memasukkan arahan agar PDRM membantu Izwan mendapatkan anak-anaknya. 
Bagaimanapun, pada 7 April lepas, Mahkamah Tinggi Seremban memberi hak penjagaan kanak-kanak itu kepada ibu mereka dan mengarahkan polis mendapatkan kembali Mithran daripada Izwan pada 21 Mei 2014. 
Bagi kes kedua, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 September 2009 memberi hak penjagaan Umu Salamah Muhammad Riduan, 12, Abu Bakar Muhammad Riduan, 11, dan Umu Habibah Muhammad Riduan, 1, kepada bapa mereka yang memeluk agama Islam. 
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Ipoh pada 11 Mac 2010 memerintahkan hak penjagaan ketiga-tiga anak itu diberi kepada ibu mereka dengan akses munasabah sekali seminggu kepada Muhammad Riduan. 
“Seterusnya, pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan Perintah Mendapatkan Balik kanak-kanak bernama Prasana Diksa (Umu Habibah). 
“Perintah itu, antara lain, mengarahkan mana-mana pegawai polis diberi kuasa untuk memindahkan kanak-kanak itu daripada bapanya atau sesiapa yang mempunyai jagaan atau kawalan ke atas kanak-kanak tersebut,” menurut kenyataan itu. 
Abdul Gani berkata, tindakan mencelah di Mahkamah Rayuan dilakukan bagi memastikan isu yang berbangkit dalam kedua-dua kes dapat diselesaikan secara muktamad, adil, aman dan harmoni menurut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa. 
Selain itu, katanya, satu daripada tujuan mencelah dalam prosiding berkenaan ialah kerana Jabatan Peguam Negara sedang mempertimbang untuk membuat satu permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan suatu keputusan muktamad berhubung isu perlembagaan yang berbangkit dalam kedua-dua kes. - BERNAMA 
0 Komentar untuk "Jabatan Peguam Negara akan mohon mencelah dua kes hak jagaan anak"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI