Kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih tidak mengetahui kepentingan teknologi dalam mewujudkan peluang perniagaan.

Pengarah Urusan Intel Asia Tenggara Uday Marty berkata, PKS perlu mengambil peluang dan langkah yang tegas dalam meningkatkan produktiviti perniagaan melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkini, seperti ditetapkan dalam pelan induk PKS 2012-2020 oleh kerajaan Malaysia.

"Kami percaya ICT adalah salah satu kunci kepada PKS di Malaysia untuk berjaya dan kami akan bantu PKS di Malaysia melalui teknologi untuk meningkatkan sumbangan PKS  kepada ekonomi menjelang 2020," katanya dalam perbincangan meja bulat bersama SME Corporation Malaysia, semalam.

Perbincangan itu mengenai peluang yang perlu direbut PKS dalam memanfaatkan penggunaan ICT.

Katanya, teknologi akan tingkatkan prospek perniagaan, produktiviti dan mempromosikan produk.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Usahawan dan Penyelidikan di bawah SME Bank, Dr Sheikh Ghazali Abod berkata, sehingga hari ini kos adalah pertimbangan utama untuk penggunaan  ICT.

"Kerjasama dengan Intel dan program pinjaman sedia ada ini akan terus menggalakkan PKS beralih daripada proses manual kepada proses automatik untuk operasi mereka", katanya.

Selain itu, Intel turut melancarkan kempen Intel Malaysia SME Tingkatkan Perniagaan Anda bagi menggalakkan PKS terlibat dengan penggunaan ICT di mana usahawan berpeluang memenangi RM20,000 bagi menaik taraf teknologi maklumat untuk perniagaan mereka melalui kempen itu.