Watsons sasar 300 cawangan
Hoh (kiri), Ketua Pemasaran dan Komunikasi Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd, Queenie Tham (dua kanan) dan Pengurus Jenama Kenderaan Penumpang Ford Hazel Khor (kanan) bergambar bersama pemenang pertandingan Watsons Win Our Wheels, Jasmine Michael.
RANGKAIAN kedai kecantikan dan kesihatan, Watsons Personal Care Stores Sdn Bhd menyasarkan untuk membuka 27 cawangan baru bagi melengkapkan 300 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengawal Pemasaran Watsons, Danny Hoh berkata, setakat ini, Watsons mempunyai 273 cawangan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Kami juga menerima 60 pelanggan setiap hari dan 2.5 juta pelanggan setiap bulan.

"Daripada jumlah itu, 82 peratus adalah pelanggan wanita," katanya selepas penyampaian hadiah utama peraduan Win On Wheels yang berlangsung 21 Februari hingga 24 April lalu.

Sementara itu, Hoh berkata, peraduan itu diadakan sempena kempen Watson Global Brand Refresh bagi menghargai pelanggan farmasi itu.

Katanya, Watsons turut menerima 193,393 penyertaan dari seluruh negara sekali gus membantu meningkatkan jumlah ahli baru yang mendaftar dalam tempoh peraduan itu dijalankan.

"Sebelum peraduan, jumlah ahli kesetiaan Watsons VIP adalah 2.1 juta dan selepas itu meningkat kepada 2.4 juta," katanya.

Selain Malaysia, Watsons turut beroperasi di 12 negara iaitu Hong Kong, China, Singapura, Thailand, Indonesia, Korea, Taiwan, Filipina, Turki, Eropah dan Ukraine dengan mencatatkan 50 juta ahli.

Ahli kad kesetiaan Watsons VIP turut menawarkan diskaun selain boleh mengumpul mata ganjaran dan boleh ditebus untuk rebat tunai pada pembelian akan datang.