Aplikasi untuk tempah teksi
Easy Taxi tawar aplikasi menempah teksi.
EASY Taxi, syarikat aplikasi penempahan teksi global melancarkan perkhidmatan itu di Malaysia, iaitu operasi pertamanya di Asia Tenggara.

Perkhidmatan Easy Taxi pada masa ini boleh didapati di 30 bandar utama di 11 negara termasuk Brazil, Peru, Chile, Argentina, Mexico, Colombia dan Venezuela serta mempunyai lebih 30,000 pemandu teksi berdaftar di bawah rangkaiannya.

Pengarah Urusan, Easy Taxi Malaysia, Chan Heng Joon berkata, perkhidmatan teksi yang mesra pelanggan dan mudah digunakan masih belum diwujudkan di Malaysia.

“Perkhidmatan teksi yang mudah ditempah masih tidak tersedia di Malaysia.

"Kami faham kekecewaan dan kepayahan untuk mendapatkan teksi bermeter, menunggu untuk jangka masa yang lama, dan keraguan sama ada pengguna akan tiba ke destinasi pada masa yang ditetapkan dengan selamat atau tidak," katanya.

Dengan dana pelaburan mencecah RM45 juta setakat ini, Easy Taxi telah pun mendaftar 800 teksi ke rangkaiannya dalam tempoh sebulan dan 27,000 muat turun aplikasi di Malaysia.

Easy Taxi Malaysia akan menjana pendapatan daripada pemandu teksi yang dikenakan kadar rata RM1 bagi setiap perjalanan dibuat, dengan 500,000 perjalanan dirancang tahun pertama operasinya.