Datuk Idris Haron
Datuk Idris Haron
MELAKA - Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron berkata hukuman keras terhadap pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee bukan satu jaminan kejadian mempersenda agama lain tidak akan berulang.
Beliau sebaliknya percaya didikan berterusan semua pihak khususnya ibu bapa mampu menangani masalah tersebut pada masa depan.
"Kalau tindakan keras yang diambil boleh janjikan perkara tersebut tidak berulang lagi adalah amat bagus tapi saya khuatir ia akan menyebabkan wujudnya sifat dendam kesumat dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan pasangan berkenaan yang mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan di laman sosial Facebook
Katanya masyarakat negara ini perlu menghayati konsep kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan yang dapat mengelak seseorang individu daripada melintasi garisan sensitiviti dan mengenepikan semangat perkauman serta menghormati kepelbagaian kaum dan agama lain.
"Mengapa kepelbagaian ini dijadikan punca untuk kita bermusuh, bergaduh atau berperang sesama kita sedangkan sejak kecil kita diajar menghormati perbezaan dan kepelbagaian yang ada antara kita kerana ia merupakan kekuatan negara," katanya.
Terdahulu, Idris menerima penyerahan zakat korporat daripada Maybank Islamic Berhad, Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Berhad keseluruhannya berjumlah RM1.59 juta.
Dalam perkembangan lain, Idris yang juga Pengerusi Pusat Zakat Melaka (PZM) turut menasihatkan pembayar zakat di negeri itu agar membuat pembayaran mengikut saluran yang sah dan diiktiraf kerajaan terutama yang berurusan melalui laman sesawang.
Beliau berkata ia ekoran terdapat laman sesawang yang menggunakan alamat di negeri Selangor dikesan melaksanakan kutipan zakat dan sumbangan sehingga mencapai RM2.4 juta tanpa mendedahkan latar belakang pengoperasiannya dengan jelas dan terbuka.
Umat Islam diminta membuat bayaran zakat secara terus kepada PZM untuk disalurkan secara telus kepada golongan asnaf di negeri ini, katanya.
Katanya PZM telah mengutip lebih RM22 juta bayaran zakat harta, pendapatan dan fitrah pada masa ini dan mensasarkan mampu mengutip RM46.77 juta bayaran zakat pada penghujung tahun ini. - Bernama