Tan Sri Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye
KUALA LUMPUR - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa kerajaan mengkaji semula undang-undang dadah ketika ini untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah dengan lebih berkesan.
  
Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata langkah ini perlu kerana kerajaan telah berikrar menjadikan Malaysia negara bebas masalah dadah menjelang 2015.
  
"Masanya telah tiba untuk kerajaan mengkaji semula pelbagai undang-undang berkaitan isu dadah dan mengambil langkah sewajarnya untuk mempertingkat usaha memerangi musuh nombor satu negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Beliau berkata apa yang membimbangkan ialah peningkatan jumlah keldai dadah membabitkan rakyat Malaysia.
  
"Meskipun diberi kesedaran berkaitan akibat buruk melibatkan diri dalam pengedaran dadah, masih terdapat rakyat Malaysia yang mudah terpedaya dan sedia mengambil risiko menjadi keldai dadah," katanya. - Bernama