Langgan aplikasi tanpa had
Afizulazha (tiga, kiri) dan Wong (tiga, kanan) menunjukkan perkhidmatan Mobiroo yang pertama kali diperkenal di Malaysia.
CELCOM Axiata Bhd menawarkan langganan aplikasi mudah alih tanpa had dengan yuran bulanan tetap, iaitu tawaran pertama seumpamanya daripada penyedia khidmat telekomunikasi di Malaysia.

Tawaran itu dibuat melalui kerjasama Celcom dengan peneraju aplikasi mudah alih Kanada, Mobiroo Inc.

Perkhidmatan yang dinamakan Mobiroo itu akan memberikan pengguna akses tanpa had kepada lebih 750 aplikasi berbayar Android dalam semua kategori termasuk permainan, kesihatan, muzik, buku, perniagaan dan pelbagai lagi, iaitu penjimatan ratusan ringgit jika dibandingkan dengan nilai terkumpul semua aplikasi tersebut.

Sebagai tawaran eksklusif kepada pelanggan Celcom yang menggunakan peranti Android, Mobiroo boleh didapati melalui aplikasi The Cube, iaitu saluran multimedia Celcom bagi memenuhi keperluan pelanggannya untuk mengakses kandungan dalam peranti masing-masing.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Digital Celcom Afizulazha Abdullah berkata, Mobiroo memberikan nilai hebat kepada pelanggan yang semakin ramai menggunakan telefon pintar.

Sementara itu, Presiden Rantau Asia Pasifik Mobiroo Alan Wong berkata, perkhidmatan itu memberikan pengguna akses kepada aplikasi berbayar paling popular pada harga sangat rendah dan beliau yakin dengan pasaran luas di Malaysia.

"Kami melihat potensi besar di Malaysia yang muncul sebagai hab bagi perkhidmatan mudah alih dan aplikasi dengan lebih 100 peratus kadar penembusan," katanya.

Bagi tempoh terhad, The Cube kini menawarkan perkhidmatan itu pada harga RM9.90 sebulan, separuh daripada yuran asal RM18.80.