Aplikasi Tourism Malaysia bantu pelancong
The Malaysia Trip Planner menyediakan jadual lengkap semua acara pelancongan yang diadakan di Malaysia.
TORUSIM Malaysia memperkenalkan aplikasi untuk telefon pintar Android dan iPhone yang direka khas untuk panduan pelancong ke Malaysia dan boleh dimuat turun secara percuma.

Aplikasi digelar The Malaysia Trip Planner (Perancang Perjalanan Malaysia) itu yang dilancarkan baru-baru ini memberi pelancong maklumat yang diperlukan mengenai Malaysia serta aktiviti yang boleh dibuat di negara ini.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab berkata, penggunaan platform mudah alih telah melangkaui pengiklanan tradisional dan menjadi cara terbaik untuk menunjukkan tawaran pelancongan yang terdapat di sesebuah negara.

"Tourism Malaysia bangga untuk memperkenalkan aplikasi terbaru ini untuk memenuhi permintaan pelancong hari ini yang mahukan maklumat pelancongan secara inovatif di hujung jari mereka," katanya.

The Malaysia Trip Planner membantu menyusun rancangan perjalanan menjadi itinerari yang mempunyai semua butiran perjalanan untuk rujukan pengguna pada satu tempat selain menyediakan pelbagai maklumat mengenai tempat tarikan pelancong di Malaysia.

Antara ciri-ciri utama aplikasi itu adalah maklumat terperinci mengenai tarikan pelancong yang boleh diteroka pengunjung, jadual lengkap pelbagai acara di Malaysia, penerangan mengenai tempat-tempat menarik dan menyediakan cara cekap dan bijak untuk mengurus itinerari.