CMM tingkat kemahiran pekerja
Amirul (dua, kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Datuk Dr Pang Chau Leong bertukar dokumen sambil disaksikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib (tengah).
CHEMICAL Company of Malaysia Bhd (CCM) melancarkan My Career Acceleration Programme (MyCAP), iaitu program pembangunan dirangka khusus untuk membolehkan kakitangan kumpulan itu meningkatkan kemahiran, keupayaan dan kemampuan mereka.

Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Amirul Feisal Wan Zahir berkata, langkah mengiktiraf sumbangan kakitangan, memupuk kekuatan dan bakat serta memberi peluang untuk melangkah maju adalah amat penting.

“MyCAP akan memperkasa kakitangan dengan sumber, kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk pembangunan kepimpinan bagi memastikan cita-cita kerjaya mereka tercapai," katanya dalam satu kenyataan.

CCM baru-baru ini memenangi Anugerah Majikan 1Malaysia dalam kategori syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sempena Anugerah Hari Buruh.

MyCAP yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia merangkumi tiga bahagian iaitu Program Pembangunan Tingkah Laku, Program Pensijilan Dalaman dan Program Tajaan Pendidikan MyCAP.