PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendakwa perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirunding Malaysia dengan 11 negara lain akan mengancam peluang pekerjaan graduan di negara ini dan memburukkan masalah pengangguran rakyat Malaysia.

PKPIM dalam satu kenyataan berkata, kerajaan perlu memberi perhatian berkenaan klausa dalam perjanjian yang membolehkan rakyat negara peserta TPP bekerja di Malaysia tanpa sekatan.

"Syarikat antarabangsa juga boleh mengambil pekerja asing tanpa perlu memenuhi kuota pekerja tempatan seperti yang dikenakan kepada mereka sebelum ini.

"Perjanjian ini bakal memburukkan lagi situasi pengangguran di Malaysia dalam kalangan graduan universiti. Ini kerana sukar bagi mereka bersaing dengan pekerja asing yang sanggup dibayar gaji lebih murah," menurut PKPIM.

Persatuan itu turut bimbang pekerja asing yang lebih mahir dan berpengalaman dari negara maju dalam TPP bakal merampas peluang pekerjaan daripada pekerja mahir tempatan.

PKPIM menggesa kerajaan menilai kembali penglibatan negara dalam TPP untuk melindungi kepentingan graduan dan anak muda serta mengelakkan gejala sosial yang meruncing kerana pengangguran anak muda.

Rundingan TPP akan masuk pusingan ke-18 di yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah bermula 15 hingga 25 Julai 2013.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang mewakili negara dalam rundingan itu sebelum ini beberapa kali memberi jaminan kerajaan tidak akan menandatangani sebarang perjanjian yang boleh memberi kesan buruk kepada negara.

Negara peserta TPP menyasarkan untuk memuktamadkan rundingan tersebut pada Oktober atau menjelang akhir tahun ini