Kes Kartika: Kekeliruan masyarakat punca polemik, kata ABIM - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kes Kartika: Kekeliruan masyarakat punca polemik, kata ABIM

Kes Kartika: Kekeliruan masyarakat punca polemik, kata ABIM

PETALING JAYA: Keputusan hukuman sebatan yang dikenakan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Soekarno yang telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang telah ditangguhkan pelaksanaannya, telah mengundang pelbagai pendapat berhubung isu tersebut.

Menurut Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq, perkara tersebut tercetus kerana masyarakat masih tidak faham dengan pelaksanaan undang-undang sebatan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

"Tidak kurang juga yang gerun lalu menentangnya kerana momokan hukuman sebatan ini sangat kejam kerana membawa kepada kecederaan kekal, mengaitkannya dengan gambaran negatif pelaksanaan sebatan di Mahkamah Sivil di bawah Kanun Prosedur Jenayah 1998.

"ABIM ingin mengingatkan bahawa hukuman sebatan ini telah diperuntukkan di bawah kuasa negeri, di mana Raja adalah bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama termasuk dalam hal pelaksanaan undang-undang syariah yang diperuntukkan di bawah enakmen ataupun akta di sesebuah negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, di Malaysia, khususnya di bawah peruntukan undang-undang jenayah Islam negeri, pelaksanaan bagi hukuman sebat bagi pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah telah diperkenalkan dan dilaksanakan.

Namun demikian, sehingga kini hanya negeri Kelantan dan Pahang sahaja yang telah melaksanakan hukuman sebatan ini.

Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan.

Kartika, 32, sepatutnya dibawa ke Penjara Wanita Kajang, Selangor semalam dari Ipoh, Perak bagi menjalani hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saatsaat akhir dengan alasan perintah tahanan terhadapnya tidak dapat dilaksanakan ketika ini.

Kartika didenda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas kerana meminum arak di pusat hiburan di Cherating, pada 11 Julai tahun lepas

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan Fadhlina berkata, mahkamah hanya menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya mengikut peruntukan perlembagaan walaupun kuasa yang diberikan sangat terhad.

"Selain peruntukan berkaitan pelaksanaan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah, terdapat juga peruntukan lain berkitan kaedah dan pelaksanaan hukuman sebat yang merangkumi alat yang digunakan untuk sebatan dan tatacara pelaksanaannya.

"Malah, kaedah dan pelaksaaan sebatan ini sangat berbeza dengan pelaksanaan di Mahkamah Sivil sepertimana yang diperincikan di bawah Seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Syariah 2002 Negeri Pahang," katanya.

Justeru, beliau berkata ABIM menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman sebatan dan denda terhadap Kartika serta menghentikan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah kerana dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"ABIM juga ingin menegaskan bahawa undang-undang Islam berada di bawah kuasa negeri. Apabila Mahkamah Syariah telah memutuskan hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang negeri, yang juga berada di bawah kuasa raja di sesebuah negeri.

"Maka kerajaan persekutuan tidak boleh mencampuri urusan tersebut kerana ia adalah kuasa eksklusif negeri yang diperuntukkan dengan jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Tegasnya, hanya mahkamah yang mempunyai bidang kuasa sahaja (dalam kes Mahkamah Syariah) yang boleh mengeluarkan perintah penggantungan tersebut di atas alasan rayuan yang dikemukakan atau apa-apa alasan lain yang munasabah di sisi hukum syarak.

"Justeru ABIM melahirkan kekecewaannya terhadap campur tangan Peguam Negara yang dilihat bertindak atas desakan pelbagai pihak termasuk tekanan daripada luar negara.

"Yang jelas, Kartika Sari telah mengakui kesilapannya, beliau juga telah membuat pengakuan (iqrar) yang cukup kuat dan merupakan bukti yang kukuh bagi pensabitan kes di bawah undang-undang keterangan Islam, malah telah diberikan ruang untuk merayu dalam tempoh tertentu. Beliau memilih untuk menjalani hukuman tersebut dan pilihan tersebut harus dihormati,"katanya.

Katanya, prinsip Kartika Sari dan keluarganya yang nyata sangat menghormati undang-undang dan menjunjung tinggi perintah Mahkamah Syariah wajar dipuji dan dihormati.

"Isu ini tidak perlu dipolemikkan dan dikelirukan. Malah sewajarnya semua pihak dianjurkan menghormati keputusan mahkamah dan pendirian Kartika Sari dan keluarganya dalam mempertahankan undang-undang Islam di Malaysia.

"ABIM menyeru agar hukuman ke atas Kartika Sari ini dijadikan iktibar dan pengajaran kepada umat Islam yang masih mengkonsumsi arak dan menghentikan segera amalan buruk tersebut,"katanya.
0 Komentar untuk "Kes Kartika: Kekeliruan masyarakat punca polemik, kata ABIM"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI