Wasatiyyah perlu jadi teras Gagasan TN50 - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Wasatiyyah perlu jadi teras Gagasan TN50



PERLEMBAGAAN Persekutuan asas pembentukan dan pembinaan Malaysia. Teras inilah yang membentuk jati diri Malaysia menghadapi sebarang cabaran. Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan asas kesederhanaan dan keseimbangan. Pendekatan ini menjadi asas peruntukan Perlembagaan Persekutuan 'Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain dijamin kebebasan untuk diamalkan penganutnya'. Inilah sandaran utama kesejahteraan dan kestabilan hari ini. Sejak sekian lama, negara mengamalkan keseimbangan dalam pengagihan kekayaan, kuasa politik dan penggunaan bahasa kebangsaan. Bagi tujuan ini, saya cuba menghuraikan kepentingan pendekatan wasatiyyah sebagai sebahagian asas pembinaan negara Malaysia.

Kepemimpinan awal merintis jalan dengan penuh kebijaksanaan dan berhemah dalam mengurus tadbir negara. Amalan kesederhanaan mendapat tempat dalam urus tadbir negara. Pendekatan wasatiyyah tidak bercanggah dengan dasar kepemimpinan terdahulu. Kabinet meluluskan Dasar Wasatiyyah Negara pada 21 Oktober 2016, bermatlamat meningkatkan kefahaman rakyat Malaysia terhadap pendekatan wasatiyyah; menyelesaikan permasalahan masyarakat yang dibelenggu isu integriti; ekstremisme dan radikalisme; memperkukuh penghayatan wasatiyyah bagi mewujudkan semangat toleransi dalam kalangan rakyat; membangun bangsa Malaysia yang harmoni dalam menghayati nilai dan etika, serta menjadikan wasatiyyah sebagai cara hidup rakyat Malaysia.

Lahirkan masyarakat harmoni 

Kerajaan turut merangka Pelan Strategik Pendekatan Wasatiyyah (2016 hingga 2020). Pelan ini dokumen penting Dasar Wasatiyyah Negara dalam melahirkan masyarakat harmoni melalui pengamalan dan penghayatan pendekatan wasatiyyah dalam setiap aspek kehidupan. Justeru, bagi menjayakan matlamat ini, pendekatan wasatiyyah sebagai dasar negara dilaksanakan melalui enam bidang strategik iaitu pendidikan dan belia, ekonomi dan pembangunan, pentadbiran dan perundangan, perpaduan dan sosial, politik dan kenegaraan serta keselamatan dan pertahanan. Institut Wasatiyyah Malaysia dilantik sebagai agensi penyelaras melaksanakan pendekatan wasatiyyah. Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Wasatiyyah Peringkat Kebangsaan, agensi dan negeri diwujudkan untuk menyebar luas pendekatan ini kepada segenap lapisan masyarakat, demi menjamin kestabilan dan keutuhan Malaysia yang majmuk seterusnya menuju generasi mendatang.

Kesungguhan kerajaan terhadap pendekatan wasatiyyah dan kepentingannya amat jelas. Pentadbiran kerajaan komited merealisasikan wasatiyyah sebagai dasar negara dan dipraktikkan dalam setiap gerak kerja pentadbiran negara. Kejayaan mengangkat pendekatan wasatiyyah sebagai dasar negara akan memperkukuh dasar sedia ada dan menjadi sebahagian agenda pendukung transformasi pembangunan untuk memacu ke arah negara maju dan berprestasi tinggi.

Memperkasa misi nasional 

Dasar Wasatiyyah Negara akan membantu memperkasa misi nasional seiring dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50), Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Dalam sejarah ketamadunan terdahulu, keruntuhan sesebuah tamadun kerana wujud dua golongan ekstrem dan keterlaluan. Satu pihak yang melampau sifatnya dan satu pihak lagi terlalu mengabaikan sehingga tidak mempedulikan batasan agama, prinsip asas dan keutamaan. Mereka yang bersikap melampau akan menyulitkan sesuatu tindakan sehingga membebankan. Golongan pengabai pula akan mempermudahkan urusan dengan meletakkan akal sebagai garis ukur keutamaan dan membelakangkan agama yang menjadi asas dan prinsip serta dasar. Mereka mempermudahkan urusan sehingga melanggar peraturan, prinsip dan dasar.

Pilihan yang bagaimanakah akan sentiasa menjadi persoalan. Namun, gagasan yang perlu dibentuk bagi Malaysia dalam TN50 ini memerlukan pendekatan yang mempunyai asas kukuh dan tujuan mendalam. Pendekatan ini perlu dipasakkan kepada pendekatan seimbang dan mampu mengisi fungsi manusia sebagai khalifah sebenar. Walau apa situasinya pada 2050, pendekatan wasatiyyah perlu menjadi teras pemikiran generasi akan datang. Semua pihak perlu memupuk pemikiran kesederhanaan dengan menjadikan pendekatan wasatiyyah sebagai mekanisme penyatuan rakyat. Prinsip maqasid syariah, Piagam Madinah, siyasah syar'iyyah, fiqh awlawiyyat dan hikmah adalah tonggak pendekatan ini. Masyarakat perlu sensitif terhadap isu dan cabaran yang membelenggu kini. Fahaman radikal dan sempit serta ekstrem, taasub dalam isu tertentu yang menjurus kepada perpecahan dan mengganggu keharmonian perlu ditangani untuk melahirkan generasi unggul yang bersifat wasatiyyah.

Justeru, idea kesederhanaan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, wajar diketengahkan dalam merangka strategi ke arah mewujudkan keadilan, kesamarataan, peluang dan keamanan sejagat yang menjadi hala tuju TN50. Malah, pendekatan wasatiyyah diterima di semua peringkat dalam negara dan antarabangsa. Pendekatan wasatiyyah perlu jadi teras Gagasan TN50. Sudut pandang ummatan wasata sebagai umat pilihan lagi adil direalisasikan walau dalam apa jua arus kemodenan ketika memasuki tahun 2050 dan Malaysia mencapai usia 100 tahun kemerdekaan pada 2057. Penulis ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/277129
0 Komentar untuk "Wasatiyyah perlu jadi teras Gagasan TN50 "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI