Pembelian Hartanah Di Australia Ikut Prosedur - Shafie - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pembelian Hartanah Di Australia Ikut Prosedur - Shafie

BANGI: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mempertahankan pendiriannya dengan bertegas bahawa proses pembelian empat hartanahnya di Australia dibuat mengikut prosedur.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, walaupun terdapat dakwaan ia dibeli pada harga tinggi tanpa mengikut nilai harga semasa, namun Mara Inc hanya merujuk kepada penilainya yang telah dilantik semasa urusniaga pembelian dijalankan.

“Penilai-penilai yang dilantik oleh Mara Inc adalah jurunilai yang bertaraf antarabangsa di Australia, bukan yang tak ada pengalaman.

“Kita tahu semasa pembeliannya, ia dibeli jauh lebih rendah daripada penilaian, kalau ada jurunilai lain yang menyatakan sebaliknya, kita hanya memakai jurunilai yang kita lantik…jurunilai ini ada tafsirannya yang pelbagai,” katanya pada sidang media selepas melancarkan majlis Penghayatan Wastiyyah dan Ihya’ Ramadan Mara di sini, Isnin.

Shafie yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Mara berkata, syarikat antarabangsa yang terlibat dalam penilaian keempat-empat hartanah Mara itu dikenali sebagai Raine & Horne International.

“Pihak bank juga bersetuju dengan syarikat penilai antarabangsa ini, yang mempunyai pengalaman” katanya.

Shafie berkata demikian sebagai merujuk kepada pembelian hartanah 746 Swanston Street, Dudley International House, 21 Queen Street dan 333 Exhibition Street di Australia.

Mengulas lanjut, Shafie berkata, selain pembelian dibuat pada harga yang lebih rendah dari nilai semasa, pembelian hartanah itu yang dijalankan sekitar tahun 2012 dan 2013 itu juga telah mendatangkan keuntungan, berdasarkan penilaian terkini pada Disember 2014.

“Yang menggembirakan kita aset ini sangat produktif, misalnya Dudley House masa kita beli nilainya AUD22.6 juta, sekarang nilainya AUD27.95 juta.

“Ia fakta, tak ada kerugian. Tak ada keraguan tentang aset ini yang memberikan keselesaan kepada anak-anak kita dan yang penting dari segi pengurusan dan keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, Shafie berkata, Mara akan tetap memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes ini.

Beliau berkata, jika siasatan membuktikan berlakunya penyelewengan dalam urusniaga ini, Mara tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati terlibat.

Katanya, dokumen-dokumen berkaitan telah pun diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut, selain mengambil tindakan ‘merehatkan’ Pengerusi Mara Inc, Datuk Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc, Datuk Abd Halim A Rahim.

“Tindakan ini tak bererti mereka ini salah dan dihukum. Ia adalah amalan biasa bagi membolehkan siasatan dapat dilakukan dengan lancar tanpa ada gangguan dan tohmahan,” katanya.

0 Komentar untuk "Pembelian Hartanah Di Australia Ikut Prosedur - Shafie"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI