SHAH ALAM – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mencadangkan supaya fatwa terhadap NGO Sisters in Islam (SIS) dikaji semula dengan terperinci berdasarkan lunas keadilan.

Khalid berkata, satu pertemuan dan perbincangan sepatutnya diadakan bagi memberi penjelasan serta teguran terhadap kesalahan NGO itu bukannya terus bertindak menjatuhkan hukuman.
“Panggil mereka, bincang dan berikan penerangan serta teguran di mana silap mereka.
"Kalau sekiranya hasil daripada pertemuan dan perbincangan itu memang sah mereka berpegang kepada fahaman yang terkeluar daripada Islam maka hukum mereka berdasarkan bukti dan hujah serta nyatakan kepada umum bukti dan hujahnya seperti yang dilakukan dalam fatwa berhubung al-Arqam.
“Saya tidak bertujuan mencabar mana-mana pihak atau menyanggah fatwa tersebut. Apa yang saya nyatakan adalah sekadar cadangan untuk pembaikan dan bukan untuk menghasilkan kerosakan,” katanya dalam tulisan blognya www.khalidsamad.com.
Menurutnya, objektif penubuhan SIS ialah usaha membela wanita Islam yang dinafikan hak mereka termasuk diceraikan tetapi tidak menerima nafkah untuk anak-anak di bawah tanggungan daripada bekas suami atau wanita yang didera suami tetapi tidak diberi pembelaan dan ditolak permohonan cerai.

“Setahu saya mereka tidak terlibat dalam penyebaran fahaman atau falsafah dalam kerja mereka. Biasanya perbalahan mereka dengan pihak berkuasa lebih kepada persoalan pelaksanaan bukan kepercayaan.

“Bahkan dalam menjalankan usaha kebajikan, termasuk khidmat undang-undang SIS terpaksa berhujah untuk memenangkan anak guam mereka. Hujah mereka sering berlandaskan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW tetapi dengan tafsiran yang diambil daripada sumber-sumber yang tidak semesti kesemuanya muktabar.

“Saya sendiri sering berhujah dengan mereka atas tafsiran mereka yang dilihat berbeza daripada kebiasaan. Sebahagian hujah saya mereka terima dan ada juga yang tolak. Dalam soal ini sudah ada perubahan dalam sikap mereka berbanding dengan awal tahun 2000,” katanya.

Beliau berkata, hakikatnya  mereka tetap bersandarkan hujah kepada ayat al-Quran dan hadis ini bererti mereka tidak mudah disabitkan dengan tuduhan liberalisme mahu pun pluralisme.