SHAH ALAM – Mahkamah Rayuan didakwa khilaf ketika membuat penghakiman yang membenarkan rayuan tiga lelaki Islam berpakaian seperti wanita, semalam.

Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, keputusan itu tidak sejajar dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan dua penghakiman Mahkamah Persekutuan di atas (kes Sulaiman Takrib dan Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur), PPMM berpandangan Mahkamah Rayuan telah khilaf di dalam penghakiman semalam.

“Malah ia juga tidak sejajar dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 3 yang meletakkan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Mahkamah Rayuan juga gagal mengambil kira norma masyarakat Melayu Islam yang merupakan teras kepada jati diri kebangsaan.

“Islam dan Melayu merupakan sebahagian daripada struktur asas yang membentuk Perlembagaan Persekutuan. Memusnahkan struktur asas ini akan mengakibatkan jati diri dan kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri terpecah.

“Walau apa pun, penghakiman semalam adalah penghakiman yang sah oleh sebuah mahkamah yang kompeten. Ia perlu dihormati sehingga ada keputusan sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru kerajaan Negeri Sembilan memohon penggantungan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan tersebut.

“PPMM menyeru kerajaan Negeri Sembilan dan pihak-pihak yang dinamakan di dalam prosiding tersebut memohon kebenaran merayu dalam tempoh yang ditetapkan. PPMM juga mendesak sementara menunggu permohonan kebenaran merayu diputuskan Kerajaan Negeri Sembilan memohon penggantungan perintah yang dikeluarkan itu.

“PPMM juga menyeru kerajaan Persekutuan yang merupakan ‘amicus curae’ di dalam prosiding tersebut  bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan di dalam rayuan tersebut,” katanya.

Selain itu, PPPM turut menyeru Majlis Agama Islam Negeri di seluruh Malaysia supaya memohon kebenaran mencelah di dalam prosiding rayuan kelak.

“Ini adalah disebabkan Majlis-Majlis Agama Islam adalah penasihat utama dalam hal ehwal agama Islam kepada Sultan atau Raja atau Yang di-Pertuan Besar negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri yang tidak mempunyai Raja.

“Keputusan ini juga memberi kesan kepada undang-undang sama yang ada di negeri-negeri lain.  Majlis Agama Islam Negeri-Negeri ini mempunyai kepentingan undang-undang yang jelas di dalam prosiding kerana ia juga akan memberi kesan kepada undang-undang di negeri berkenaan,” katanya.

Mahkamah Rayuan, dalam satu keputusan penting, semalam mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.