Sentuh anjing isu pemisahan identiti dan hegemoni, bukan agama, kata aktivis - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Sentuh anjing isu pemisahan identiti dan hegemoni, bukan agama, kata aktivis

Hishammuddin Rais bercakap kepada The Malaysian Insider semasa temuramah khas di Bangsar, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 9 November, 2014.
Anjing diumpamakan "sahabat baik manusia" dan bagi pencinta haiwan seperti aktivis Hishamuddin Rais, Ezi dan Jai merupakan dua rakan karib yang setia menemaninya setiap kali pulang ke rumah.

Jai, anjing peliharaan Hishamuddin Rais.
Jai, anjing peliharaan Hishamuddin Rais.
Jai, anjing jantan baka "pug" berumur 10 tahun, buta sebelah mata dan kurang pendengaran, manakala Ezi, anjing pedigree betina pemberian Orang Asli Pertak di Hulu Selangor semasa melawat kawasan perkampungan suku kaum Temuan itu.

Ezi, anjing peliharaan Hishamuddin Rais.
Ezi, anjing peliharaan Hishamuddin Rais.
"Saya juga ada Siti (kucing) dan seekor kura-kura. Apabila bercakap, mereka seolah-olah memahami dan membina karakter saya.

"Kalau saya stress mereka akan menenangkan keadaan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Berdepan dengan risiko tiga tahun penjara mengikut Akta Hasutan 1948 atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan pada 13 Mei 2013, Hishamuddin bimbang nasib dua ekor sahabatnya tidak terjaga jika mahkamah mendapati beliau bersalah dalam kes itu.

"Jika masuk penjara salah satu kesedihan saya bukanlah hilang hak kebebasan, tetapi siapa mahu jaga anjing saya? Perkara ini sudah lama difikirkan.

"Tidak mungkin saya tinggalkan Malaysia seperti dahulu kerana saya sudah ada tanggungjawab terhadap binatang peliharaan," katanya yang pernah melarikan diri selama lebih 20 tahun selepas diburu kerajaan kerana kebangkitan mahasiswa pada 1974.

Katanya, memelihara anjing di kalangan masyarakat Melayu bukan sesuatu yang baru dan janggal kerana saudaranya di kampung di Negeri Sembilan juga sejak dahulu turut memeliharanya bagi tujuan menjaga kawasan rumah dan kebun.

Selain isu Pak Mie, warga emas yang memelihara beratus ekor anjing terbiar di Kedah serta pelatih anjing Maznah Yusof atau dikenali sebagai Chetz yang pernah ditahan polis kerana video menyambut hari raya bersama anjing, beliau yakin ramai orang Melayu kini memiliki haiwan itu cuma mereka tidak ke depan untuk mengakuinya.

Begitu juga dengan gambar tahun 1930-an, Raja Kelantan, Mufti Kelantan Nik Muhammad Sadiqi Wan Musa, ulama dan tokoh PAS Dr Burhanuddin Helmi bersama seekor anjing semasa perbincangan tentang masalah najis anjing yang tersebar di Internet.

"Di Malaysia ada satu garis pemisah identiti kerana isu pelihara anjing berkaitan dengan masyarakat Cina.

"Kalau ada anjing sama ada kamu dicop sebagai (meniru budaya) Cina atau kafir," katanya.

Baginya, isu ketakutan Melayu terhadap anjing bukan kerana bimbang diserang atau kerana sifat najis mugahllazah (berat), tetapi lebih resah jika dilabelkan sebagai melanggar norma adat masyarakat sendiri.

Perdebatan semakin tegang apabila program "I Want to Touch a Dog" dianjurkan Syed Azmi Alhabshi pada 19 Oktober lalu di Petaling Jaya menimbulkan reaksi negatif pelbagai pihak, termasuk ulama dan mufti negeri.

Selain menerima ancaman bunuh dan tuduhan murtad, tekanan turut dihadapi Syed Azmi apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertegas mahu menyiasat program itu yang dikatakan menghina sensitiviti Islam.

"Ini sebenarnya tentang kuasa hegemoni alim ulama yang dipecahkan oleh media sosial dan Internet.

"Mereka sudah tiada monopoli terhadap hukum agama seperti dahulu. Ini membabitkan kawalan kuasa, mereka sudah hilang kuasa itu," katanya.

Katanya, tradisi masyarakat Islam negara ini mengamalkan mazhab Sunni Imam Shafie tetapi ketelusan pihak berkuasa tidak menerangkan sesuatu isu dalam konteks Islam secara meluas itu boleh dipersoalkan.

"Jika masyarakat Malaysia diterangkan persamaan dan perbezaan dia boleh memilih apa saja jalur mazhab yang dia mahu, tetapi mufti kata tidak boleh. Penguasa agama mahu kekal melaksanakan hegemoni.

"Hukum Islam tidak mengharamkan anjing, tetapi sejak kali pertama isu ini timbul alim ulama mempersoalkan fatwa, maka pada asasnya ia melibatkan soal siapa yang lebih hebat dalam kuasa mengawal hukum agama," katanya.

Beliau berkata, bagi menghapuskan persepsi ini masyarakat Islam perlu diberi penerangan dan perbincangan secara terbuka tentang hukum sebenar melibatkan mazhab lain seperti Maliki, Hanbali dan Hanafi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan masyarakat Islam negara ini mula menentang secara diam pihak berkuasa alim ulama.

"Adakah begitu lemah sekali akidah dan kepercayaan orang Melayu apabila sentuh anjing sahaja akan terus memeluk Kristian?

"Fatwa itu cuma cadangan atau pandangan pakar agama, tetapi sama ada mahu terima atau tidak terpulang kepada individu," katanya. – 9 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sentuh-anjing-isu-pemisahan-identiti-dan-hegemoni-bukan-agama-kata-akt#sthash.Zi9wtmXw.dpuf
0 Komentar untuk "Sentuh anjing isu pemisahan identiti dan hegemoni, bukan agama, kata aktivis"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI