Buktikan, kalau benar bukan NGO liberal, ulama Umno beritahu SIS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Buktikan, kalau benar bukan NGO liberal, ulama Umno beritahu SIS

Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahaya mahukan Sisters in Islam (SIS) kemukakan bukti yang mereka tidak berpegang kepada fahaman liberalisme atau pluralisme. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 November, 2014.

Sisters In Islam (SIS) perlu membuktikan mereka bukan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpegang kepada konsep liberalisme dan pluralisme sebagaimana diwartakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, kata Sekretariat Ulama Muda Umno.

Pengerusi jawatankuasa kerjanya, Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, masyarakat sudah mengenali SIS sebagai gerakan liberal berdasarkan pendirian dan pegangan mereka selama ini, dan bertanya mengapa hanya sekarang ia melakukan semakan kehakiman.

“Mengapa tiada tindakan sebelum ini? Adakah kerana selama ini SIS mengiyakan kenyataan masyarakat ke atas mereka?

“Atau (adakah) SIS sudah meninggalkan fahaman liberalisme dan pluralisme serta merasa marah kerana masih dikaitkan pegangan tersebut?
“Sekiranya mereka sudah bertaubat, syukur Alhamdulillah,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini.

Fathul Bari berkata pihak berkuasa agama tidak harus berdiam diri dan perlu bersedia tampil ke mahkamah bagi mendakwa SIS sebuah NGO pro-liberal.

Katanya, pendekatan dan pandangan yang diutarakan NGO itu sebelum ini jelas menampakkan mereka mendukung ideologi liberal.

“Masyarakat selama ini melihat SIS sebagai sebuah gerakan liberal. Misalnya apabila SIS bercakap mengenai isu aurat, poligami dan pembahagian harta, ideologinya dilihat lebih cenderung kepada doktrin liberalisme.

“Jadi kalau SIS rasa label liberalisme dan pluralisme itu tidak benar, mereka kena buktikan.

“Jika mereka mahu bawa kes ini ke mahkamah, saya minta pejabat agama turut sama bahas dan bentangkan bukti gerakan SIS ini sememangnya pro-liberalisme,” katanya kepada akhbar itu.

Semalam, SIS memfailkan semakan kehakiman terhadap fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu fahaman sesat.

SIS menamakan tiga responden, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, dan kerajaan negeri Selangor.

Semakan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Azzat dan Izzat yang mahu membatalkan pengisytiharan fatwa itu, sebaliknya mahu diiktiraf badan yang dijamin mengikut Akta Syarikat 1965 dan tidak terikat dengan fatwa tersebut.

Sementara itu, Dekan Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan, Universiti Islam Antarabangsa Prof Datuk Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata semakan kehakiman yang dilakukan SIS bertujuan melepaskan geram.

“Jika SIS bawa fahaman betul, sudah tentu Jawatankuasa Fatwa tidak kacau.

“Kita juga tidak nampak SIS bawa kepada kemajuan termasuk dalam kalangan ahlinya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Fathul Bari berkata mana-mana agama pun akan menolak dan menafikan pluralisme beragenda sesat kerana mempromosikan kehidupan tanpa agama.

Fatwa Selangor pada Julai 2014 menggazetkan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman "liberalisme" dan "pluralisme" agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Selain itu, mana-mana terbitan yang berunsur pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.

Fatwa itu juga mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

Manakala individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam, menurut fatwa tersebut. – 1 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/buktikan-kalau-benar-bukan-ngo-liberal-ulama-umno-beritahu-sis#sthash.kWv3gm03.dpuf
0 Komentar untuk "Buktikan, kalau benar bukan NGO liberal, ulama Umno beritahu SIS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI