Kalau Anwar ke penjara, Azmin dan geng boleh ambil alih, kata Economist - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kalau Anwar ke penjara, Azmin dan geng boleh ambil alih, kata Economist

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali sudah bersedia untuk keluar dari bayang-bayang mentornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insider, – 1 November, 2014.

Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke penjara selepas kes rayuan Liwat II beliau selesai minggu depan, hukuman itu bukan hanya akan menjadikan beliau seorang syahid, tetapi juga memberi peluang pemimpin muda PKR lain untuk menyinar, kata The Economist hari ini.

Menurut lidah pengarang akhbar itu, Barisan Nasional menggagalkan cita-cita politik Anwar selama 16 tahun – sejak kejatuhannya semasa bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 – dan kes beliau di Mahkamah Persekutuan minggu ini "kelihatan seperti penghujung jalan" bagi pemimpin berusia 67 tahun itu.

Tetapi, hikmah di sebaliknya, kata akhbar itu, ialah ruang bagi pemimpin muda dalam PKR seperti Mohamed Azmin Ali, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar, mengambil alih tampuk kepimpinan dan membuktikan kemampuan mereka.

Daripada ketiga-tiga mereka, Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR Azmin dilihat sebagai yang paling cerah masa depan.
"Dia bermula sebagai setiausaha peribadi Anwar selama berada dalam kerajaan dan terbukti seorang timbalan yang setia. Tetapi pemimpin berusia 50 tahun ini sudah bersedia untuk keluar dari bayang-bayang mentornya," kata akhbar itu.

Azmin bukan hanya lebih berpengalaman daripada Nurul Izzah, anak Anwar dan naib presiden PKR, beliau juga “pemenang” dalam episod “langkah Kajang”, yang diilhamkan Rafizi, yang berakhir dengan Azmin memegang jawatan menteri besar Selangor.

Jika Azmin dapat membuktikan kepada pengundi dia boleh mentadbir Selangor dengan cekap, maka dia mungkin boleh memperolehi apa yang mentornya tidak berjaya lakukan: mengambil alih kepimpinan negara sebagai perdana menteri.

Akhbar itu berkata, walaupun sekiranya rayuan Anwar berjaya, kedudukan beliau sudah "tidak sepenting mana lagi dalam pakatan pembangkang seperti suatu masa dahulu".

Anwar, katanya, dua kali gagal memimpin Pakatan Rakyat (PR) mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Tetapi, Ketua Umum PKR itu tetap seorang tokoh berkarisma dan masih boleh menarik orang ramai seperti yang berjaya dilakukannya pada hari Isnin di Universiti Malaya (UM) semasa program “40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara”.

Walaupun pentadbiran universiti mengisytiharkannya tidak sah dan menutup kampus dari dimasuki orang luar, kira-kira 2,000 orang hadir pada acara itu. Akibatnya, penganjurnya, pemimpin pelajar Fahmi Zainol sekarang berdepan tindakan disiplin universiti.

Perbicaraan kes Liwat II tiba ketika keadaan di Malaysia sedang sensitif dari segi politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sering menyebut tentang pendiriannya yang sederhana dan masih meraikan kemenangan Malaysia mendapat kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kini terpaksa berdepan dengan rating penerimaan yang merudum.

Kemerosotan populariti Najib dikaitkan dengan pengurangan subsidi bahan api dan sentimen negatif di kalangan pengundi berhubung pelbagai isu, termasuk kos sara hidup yang meningkat, keadaan umum ekonomi dan ketegangan kaum dan agama.

Pentadbiran Najib juga dituduh menggunakan undang-undang zaman penjajah bagi mengetatkan kawalan ke atas mereka yang berbeza pendapat. Pemimpin politik pembangkang, ahli akademik dan aktivis antara mereka yang dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan 1948.

Umno akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan akhir bulan ini.

Najib sedang menghadapi tekanan daripada ahli konservatif dalam Umno yang bersekutu dengan Dr Mahathir yang mungkin mahu beliau disingkir sebagai presiden parti.

Bagi menghalang mereka, beliau perlu menunjukkan beliau bukan pemimpin yang lemah dan boleh menguruskan kesan daripada perbicaraan Anwar.

Malam tadi, Najib yang juga Pengerusi BN, menggesa parti komponen BN mengukuhkan kedudukan masing-masing, dengan mendakwa PR lebih bercelaru daripada BN.

"Kita perlu lihat soal dalaman, perkukuhkan parti masing-masing dan tunjuk komitmen untuk pastikan kejayaan BN," katanya.

"Kita boleh tingkatkan lagi kerjasama, tetapi kita lihat keadaan parti pembangkang lebih bercelaru daripada BN."

Kemelut menteri besar Selangor yang berlarutan selama berbulan-bulan melihat parti dalam PR – PKR, DAP dan PAS – bertelagah dan hubungan mereka terjejas.

Bagaimanapun, perbicaraan kes Liwat II Anwar melihat beberapa hubungan diperbaiki dengan kehadiran ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad, antara mereka yang memberi sokongan di mahkamah di Putrajaya. – 1 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kalau-anwar-ke-penjara-azmin-dan-geng-boleh-ambil-alih-kata-economist#sthash.546t4nXt.dpuf
0 Komentar untuk "Kalau Anwar ke penjara, Azmin dan geng boleh ambil alih, kata Economist"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI