"Arak membawa keburukan. Itu adalah jelas. Tidak ada agama di dunia ini yang akan mempromosikan pesta arak, apatah lagi ajaran Islam yang syumul di sebuah negara yang majoritinya terdiri dari umat Islam. Malah, ia bukan pun cara hidup di Malaysia atau peradaban di Nusantara. Mengapa mahu budaya sebegini diterapkan di negara ini?
Mengapa kita pula yang mahu menjadi jurucakap kepada syarikat-syarikat arak ini? Mengapa pula kita mahu membela cara hidup yang tidak berperadaban ini? Mengapa mahu melumpuhkan seruan ke arah Islam yang menyeluruh dan menggantikannya dengan Islam tanpa syariat dengan membenarkan promosi secara terang-terangan dan besar-besaran seperti pesta Oktoberfest ini?
Masyarakat dunia secara amnya mengetahui bahaya pengambilan arak. Arak telah menyebabkan pelbagai penyakit yang serius seperti penyakit limpa, kanser usus, sindrom Korsakoff dan punca timbul banyaknya masalah sosial di pelbagai negara. Statistik kadar jenayah yang meninggi, kekerapan kemalangan jalan raya, pertambahan kes penyakit mental, bunuh diri, perzinaan dan keruntuhan institusi keluarga di serata dunia menjadi bukti kepada kuasa perosak alkohol.
Malah, kerajaan Amerika Syarikat pernah mencuba satu langkah drastik melalui langkah “Prohibition” pada tahun 1920 hingga 1933. Ia adalah satu percubaan berdasarkan Pindaan ke 18 Perlembagaan Amerika Syarikat untuk menghalang pengambilan alkohol melalui pengawalan pembuatan, pengedaran dan penjualan alkohol secara haram. Sebaik sahaja undang-undang tersebut dikuatkuasakan, terbukti secara umum berkurangnya jenayah yang melibatkan pengambilan alkohol, namun akhirnya sindiket kongsi gelap menjadi semakin berleluasa sebagai jalan alternatif untuk pengedaran arak. Kerajaan Amerika Syarikat menampung begitu banyak kerugian akibat perlaksanaan drastic undang-undang tersebut. Akhirnya, usaha kerajaan Amerika Syarikat ini menemui kegagalan dan undang-undang tersebut dimansuhkan melalui Pindaan ke 21 pada 5 Disember 1933.
Di dalam sejarah umat Islam, pengharaman arak dilakukan secara berperingkat pada awal sejarah Islam sehingga akhirnya menjadi larangan yang tegas apabila turunnya ayat 90 dari Surah Al-Maidah,
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, korban untuk patung berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu memperolehi kejayaan”.
Semenjak turunnya ayat tersebut arak telah diharamkan secara muktamad oleh Allah swt. Hukum haram tersebut bukan hanya melibatkan peminum arak, malah sesiapa yang berurusan dengan apa yang berkaitan dengan arak juga dilaknat Allah swt – termasuklah pembuatnya, pengedarnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan juga pemesannya. Begitulah tegasnya Islam dengan hidangan najis arak.
Namun, negara Islam yang berkembang wilayahnya ke serata dunia tidak memaksa warganegara yang bukan Islam untuk menghalang mereka dari meminum arak. Di sinilah kecantikan perundangan Islam. Islam tidak sama sekali memaksa dan menghalang rakyatnya yang bukan Islam dari meminum arak sebagaimana percubaan kerajaan Amerika Syarikat pada tahun 1920. Walau bagaimanapun, hikmah kebijaksanaan syariah Islam adalah dengan menghalang kerosakan yang lebih besar melalui larangan menzahirkan perbuatan tersebut di khalayak umum seperti meminum arak. Ini berikutan padanya ada mafsadah (kerosakan) kepada masyarakat umum apabila ia dizahirkan secara terbuka apatah lagi ia bukti kepada penzahiran syiar kekufuran. Sebarang pengambilan alkohol, hendaklah dibuat secara tertutup dan tidak boleh dipromosikan secara terbuka. Ketika perundangan di negara juara demokrasi Amerika Syarikat gagal setelah 13 tahun, Islam berjaya mengawal kesan buruk arak di dalam masyarakat melalui syariatnya selama ratusan tahun.
Arak membawa keburukan. Itu adalah jelas. Tidak ada agama di dunia ini yang akan mempromosikan pesta arak, apatah lagi ajaran Islam yang syumul di sebuah negara yang majoritinya terdiri dari umat Islam. Malah, ia bukan pun cara hidup di Malaysia atau peradaban di Nusantara. Mengapa mahu budaya sebegini diterapkan di negara ini? Mengapa kita pula yang mahu menjadi jurucakap kepada syarikat-syarikat arak ini? Mengapa pula kita mahu membela cara hidup yang tidak berperadaban ini? Mengapa mahu melumpuhkan seruan ke arah Islam yang menyeluruh dan menggantikannya dengan Islam tanpa syariat dengan membenarkan promosi secara terang-terangan dan besar-besaran seperti pesta Oktoberfest ini?
Islam dan syariahnya adalah rahmat bukan hanya untuk orang Islam, malah ia juga rahmat untuk orang bukan Islam. Maka dalam isu arak dan apa jua bentuk kemaksiatan, sebarang promosi atau pesta arak secara terbuka di sebuah negara Islam adalah dihalang sama sekali. Ini bukan sahaja untuk kebaikan orang Islam, malah untuk orang bukan Islam.
Langkah ISMA menyuarakan pandangan agar pesta Oktoberfest dan seumpamanya dihalang dari dipromosikan secara besar-besaran dan dilakukan secara terbuka harus dipuji. ISMA mengemukakan hujah agar kerajaan dan pihak berwajib mengambil tindakan sepatutnya untuk kebaikan rakyat Malaysia. ISMA juga mengambil peranan aktif ini agar kita sebagai umat Islam di Malaysia khususnya sedar akan keburukan pesta seumpama ini serta mengambil iktibar dan menghalang ia dari terus berleluasa. Itu bukanlah satu sikap ekstrimis malah itulah sebahagian dari amar ma’ruf nahi mungkar yang wajib umat Islam laksanakan – bukan sahaja untuk kebaikan umat Islam malah untuk kebaikan rakyat bukan Islam yang membenci kesan buruk arak mahupun sebarang bentuk maksiat yang dimurkai Allah swt. Pihak yang memberikan kebenaran malah yang lebih teruk membela pesta arak tersebut dilaksanakan atas alasan ini adalah negara masyarakat majmuk, merekalah liberal yang ekstrimis dalam erti kata sebenar.
Wallahua’lam.
Abu Ameen
Jurutera Profesional
0 Komentar untuk "Pembela Pesta Arak dan Extremism"