SHAH ALAM - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada rakyat Selangor atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau sepanjang enam tahun menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan kerjasama serta komitmen pegawai dan kakitangan kerajaan negeri, anak syarikat, agensi kerajaan dan badan berkanun yang membolehkan banyak perubahan dilaksana berbanding pada awal pertukaran pucuk pimpinan.
"Saya berbangga kerana dalam tempoh enam tahun ini, negeri Selangor dapat diurus berlandaskan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik terutama kompetensi, ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti. Dengan itu, kita telah mencapai banyak kejayaan yang membanggakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Khalid berkata Dasar Hasil Negeri Untuk Rakyat yang diperkenal sejak 2008 menerusi pelbagai kebajikan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) berjaya mencapai matlamat untuk mempertingkat taraf hidup rakyat terutama
mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Beliau berkata kerajaan negeri membelanjakan lebih RM1.6 bilion sejak 2008 bagi membiayai inisiatif dan skim bersifat kebajikan di bawah MES dengan sekurang-kurangnya empat juta penduduk Selangor menikmati satu daripada inisiatif itu.
Abdul Khalid berkata menerusi dasar berjimat-cermat dan perbelanjaan berhemah yang diamal, rizab simpanan negeri berjaya dipertingkat kepada RM3.3 bilion setakat ini, dan sebahagian simpanan itu diguna bagi projek pembangunan antaranya pembinaan Jambatan Ketiga Klang dan perumahan mampu milik.
"Di bawah pentadbiran saya dan rakan-rakan Exco, pentadbiran negeri dapat meneruskan tradisi sebagai pemangkin ekonomi negara dengan menyumbang lebih kurang 24 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Malaysia di samping kekal menjadi antara destinasi pelaburan terunggul.
"Kita juga telah mencapai persetujuan bersejarah dengan kerajaan Persekutuan apabila empat syarikat konsesi berkaitan industri air di negeri ini dapat distruktur semula melalui satu proses yang bermula sejak 2008.
"Dengan ini, semua aset air dapat dikembalikan semula kepada rakyat di samping dapat memastikan perkhidmatan air bertaraf antarabangsa pada harga berpatutan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata tawaran mengambil alih empat syarikat konsesi industri air negeri dibuat secara adil dan saksama tanpa memberi kelebihan kepada mana-mana pemegang konsesi.
Abdul Khalid berkata tindakan itu bertepatan dengan matlamat utama perjanjian iaitu memelihara kepentingan rakyat kerana air merupakan antara hak asasi semua.
"Walaupun hanya satu konsesi yang belum memuktamadkan tawaran namun ia tidak sepatutnya menjejaskan tawaran yang telah kita buat sejak 2012 berjumlah RM9.65 bilion," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga menandatangani Perjanjian Pemindahan Aset bagi memindahkan semua aset air milik negeri bernilai RM14.92 bilion kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini.
Katanya, perjanjian itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamad Kushrin Munawi sebagai wakil kerajaan negeri manakala Air Selangor diwakili Suhaimi Kamaralzaman.
Abdul Khalid juga berpuas hati dengan perkembangan semasa penstrukturan semula industri air Selangor malah yakin hasrat memberi semula hak air kepada rakyat seperti yang terkandung dalam manifesto akan tercapai.
"Saya berharap kepimpinan baharu kerajaan negeri akan berjaya merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memberi saham air kepada seluruh isi rumah di Selangor," katanya. - Bernama