PKR setuju saya jadi MB Selangor, kata Azmin - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PKR setuju saya jadi MB Selangor, kata Azmin

Timbalan President PKR Mohamed Azmin Ali berkata partinya bersetuju menerima pelantikannya sebagai menteri besar Selangor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 22 September, 2014.
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini mengatakan partinya sebulat suara bersetuju menerima pelantikannya sebagai menteri besar Selangor, sekali gus menamatkan kemelut yang berlaku di negeri tersebut.

Azmin ditemui selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR yang turut dihadiri Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang tadi berkata mendapat lampu hijau daripada partinya.

"Parti terima sebulat suara bersetuju pencalonan saya sebagai menteri besar yang baharu," kata Azmin ketika ditemui wartawan.



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu juga meluahkan rasa bersyukur selepas Sultan berkenan melantiknya sebagai menteri besar baharu.
"Saya bersyukur kerana Tuanku memperkenan pelantikan saya sebagai menteri besar Selangor mulai 23 September.

"Saya berterima kasih kepada presiden dan rakan-rakan PKR kerana sebulat suara memilih saya sebagai calon menteri besar bagi pihak PKR," katanya.

Azmin berkata, pengesahan pelantikan tersebut hanya diketahui selepas menerima surat daripada Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani pada jam 3 petang tadi.

"Sebaik saja saya menerima surat ini, seperti saya janjikan dengan parti, ialah untuk memaklumkan terus kepada parti, dalam perjumpaan dengan ketua umum, tentang perkembangan mutakhir.

"Dan kita memutuskan untuk mengadakan mesyuarat tergempar pada petang tadi," katanya.

Sementara itu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam satu kenyataan berkata menghormati keputusan yang dibuat dan menerima pelantikan Azmin bagi menyelesaikan kemelut di negeri tersebut.

"MPP memutuskan untuk menghormati permintaan Dr Wan Azizah untuk beliau menarik diri daripada dicalonkan agar isu ini dapat diselesaikan segera.

"Berikutan itu, MPP juga bersetuju dengan cadangan yang dibawa Dr Wan Azizah agar Azmin dikemukakan sebagai calon menteri besar supaya pencalonan itu adalah daripada parti mengikut tuntutan amalan demokrasi," kata MPP dalam satu kenyataan selepas mesyuarat petang tadi.

Bagaimanapun, MPP juga melahirkan kekesalan terhadap layanan Istana kepada Dr Wan Azizah walaupun mendapat sokongan daripada 31 Adun Pakatan Rakyat di Selangor.

"MPP melahirkan rasa yang amat kesal dengan layanan yang diberikan istana terhadap pencalonan Dr Wan Azizah yang memenuhi kehendak Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dengan sokongan majoriti 30 ahli Dewan Negeri.

"MPP juga tidak bersetuju dengan cara pihak istana menangani proses pencalonan yang melibatkan Dr Wan Azizah sehingga beliau langsung tidak dipanggil mengadap walaupun mempunyai sokongan majoriti yang jelas," kata kenyataan itu.

Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor akan diadakan pada pagi esok di Istana Alam Shah, Klang.

Spekulasi sebelum ini mengatakan Azmin akan dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu, namun tiada pengesahan daripada pihak istana hingga surat pelantikan tersebut didedahkan hari ini.

PKR sebelum ini mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai calon MB tunggal, bagaimanapun mendapat tentangan daripada rakan PR, PAS dan Sultan juga enggan menerima cadangan tersebut. – 22 September, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pkr-setuju-saya-jadi-mb-selangor-kata-azmin#sthash.0ytk9Fdc.dpuf
0 Komentar untuk "PKR setuju saya jadi MB Selangor, kata Azmin"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI