Khalid minta penjawat awam bersabar dengan drama politik Pakatan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Khalid minta penjawat awam bersabar dengan drama politik Pakatan

Kakitangan di Pejabat Menteri Besar Selangor mengambil gambar selfie sambil memegang sepanduk sokongan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Bangunan SUK, Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 22 September, 2014.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihati penjawat awam supaya bersabar dengan kerenah politik dan meneruskan kerja pentadbiran negeri seperti biasa.

Beliau berkata, Selangor mesti dipertahankan rakyat sendiri dan perlu bekerja dengan penuh tanggungjawab.

"Biarlah politik berperang, biarlah ahli politik berdrama. Lama-lama akan jadi lawak jenaka yang akan dikenang selama-lamanya.

"Itulah saja pesanan saya," katanya mendapat tepukan gemuruh kira-kira 1,000 kakitangan kerajaan negeri di Shah Alam.
Walaupun Khalid tidak merujuk kepada mana-mana blok politik, tetapi Pakatan Rakyat (PR) sejak 8 bulan lalu mengalami pergeseran apabila strategi "Langkah Kajang" dicipta untuk menyingkirkannya atas alasan beliau gagal mematuhi kehendak PKR untuk melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas itu ketika ditemui pemberita berkata beliau akan meneruskan khidmatnya sebagai ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Adun Pelabuhan Klang sehingga akhir penggal.

Turut hadir dalam majlis perpisahan itu adalah Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan tiga exco Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr Halimah Ali, dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Kelemahan pentadbiran Khalid dianggap PKR sebagai ancaman terbesar untuk parti itu menawan Putrajaya semasa Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kerusi DUN kemudiannya dikosongkan bagi memberi laluan kepada Dr Wan Azizah menjadi wakil rakyat rakyat sekali gus melayakkannya mendapat sokongan majoriti 30 Adun menjadi menteri besar.

Namun pendirian PAS tidak senada dengan DAP dan PKR yang mahu Khalid dikekalkan sehingga ahli PAS sendiri bertelingkah sesama sendiri dan mempertikaikan tindakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pergeseran itu kemudiannya mengheret istana apabila PKR dan DAP enggan mematuhi titah sultan yang mahu lebih daripada 2 nama calon sehingga baginda menyifatkan parti terbabit sebagai biadap.

Namun teka-teki calon menteri besar Selangor baharu terjawab apabila Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali akhirnya diperkenankan Sultan walaupun namanya tidak dicalonkan mana-mana parti.

Dr Wan Azizah dalam kenyataan terbaru menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka dan menarik diri daripada pencalonan menteri besar Selangor.

"Saya mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar Azmin diangkat sebagai calon menteri besar Selangor.

"Majlis Pimpinan Pusat yang bermesyuarat pada hari ini juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu," katanya. – 22 September, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khalid-minta-penjawat-awam-bersabar-dengan-drama-politik-pakatan#sthash.ZSUhb5se.dpuf
0 Komentar untuk "Khalid minta penjawat awam bersabar dengan drama politik Pakatan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI