Safwan Anang dipenjara 10 bulan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Safwan Anang dipenjara 10 bulan

Bekas pengerusi Solidariti Mahasiswa (SMM) Muhammad Safwan Anang@Talib dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana ucapan berbaur hasutan dalam ceramahnya tahun lepas.

Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu setelah mendapati Safwan, 25, bersalah  mengikut Akta Hasutan 1948 dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini.

Bagaimanapun, Norsharidah membenarkan permohonan tertuduh yang diwakili peguam Ariff Azami Hussein bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.



Hakim menaikkan wang jaminan daripada RM5,000 kepada RM15,000 dengan seorang penjamin. Dia membayar wang ikat jamin itu.
Dalam keputusannya, Norsharidah berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes dan mahkamah berpuas hati pembelaan yang dikemukakan Safwan hanya bersifat penafian semata-mata.

"Alasan tertuduh hanya mengkritik dan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak diterima mahkamah," katanya.

Selain itu, mahkamah berpendapat segala penyataan dikemukakan tertuduh boleh menimbulkan kecenderungan menghasut walaupun dalam pembelaannya berkata dia tidak berniat berbuat demikian.

Terdahulu dalam rayuan yang dikemukakan Ariff Azami, beliau memohon supaya anak guamnya itu hanya dikenakan denda minimum RM5,000 memandangkan dia bekerja sebagai guru mengajar Al-Quran selepas menamatkan pengajiannya dalam jurusan pengajian Islam di Universiti Malaya (UM).

Katanya, Safwan juga perlu menanggung isterinya yang tidak bekerja dan seorang anak perempuan berumur lapan bulan, selain ini merupakan kesalahan pertama.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi membantah rayuan tertuduh supaya dikenakan denda atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan boleh memberi kesan besar terhadap masyarakat.

"Tertuduh menggunakan pengaruhnya untuk menarik perhatian dan hukuman berat perlu diberikan supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat," katanya.

Pada 29 Mei tahun lepas, Safwan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memberi ucapan menghasut bagi membangkitkan kemarahan rakyat supaya mengubah kerajaan tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara tidak sah.

Selain Safwan, turut didakwa bersama ialah Naib Presiden PKR Chua Tian Chiang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, 51; aktivis mahasiswa pro-pembangkang, Adam Adli Abd Halim, 25; aktivis Hishamuddin Md Rais, 63; anggota PAS Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 64; dan peguam Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 55.

Bagaimanapun kes Tian Chua dan empat lagi masing-masing dibicarakan berasingan dan masih di peringkat perbicaraan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei tahun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama, 5 September, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/aktivis-mahasiswa-safwan-anang-dipenjara-10-bulan#sthash.PIErtYAl.dpuf
0 Komentar untuk "Safwan Anang dipenjara 10 bulan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI