Kecewa dengan Azmin, Hadi calonkan sendiri 3 Adun PAS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kecewa dengan Azmin, Hadi calonkan sendiri 3 Adun PAS

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil langkah sendiri mencalonkan tiga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS kepada istana sebagai calon menteri besar Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 September, 2014.
Kecewa dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil langkah sendiri mencalonkan tiga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS kepada istana sebagai calon menteri besar Selangor.

Hadi mengambil tindakan itu selepas Azmin yang menjadi calon pilihannya menolak secara terbuka kerana mahu memberi laluan kepada presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Lebih mengecewakan Hadi apabila PKR dan DAP juga menolak mentah-mentah keputusan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat 17 Ogos lalu melalui keputusan bersama Pakatan Rakyat pada hari yang sama.



Keputusan itu diambil PR walaupun Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (juga dikenali sebagai Mat Sabu) turut berada dalam mesyuarat itu mewakili parti Islam itu.
"Dia sudah malukan PAS, jadi takkan hendak letak nama Azmin lagi? PAS pun ada maruah," kata sumber daripada kerajaan negeri.

Sumber itu turut mengesahkan semua tiga nama Adun terbabit adalah daripada PAS dan tidak ada seorang pun daripada PKR.

Katanya, Hadi menghantar surat pencalonan itu kepada istana pada 2 dan 3 September atas keputusannya sendiri tanpa pengetahuan AJK PAS Pusat dan PAS negeri. Pada 2 September, surat Hadi mencalonkan ketiga-tiga Adun PAS untuk menjadi menteri besar Selangor.

Namun keesokan harinya pada 3 September, Hadi menghantar surat pencalonan baru menamakan dua Adun PKR dan seorang Adun PAS.

Menurut sumber dari Pejabat Menteri Besar Selangor itu, tidak ada seorang pun pemimpin PAS Pusat, termasuk Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, pernah melihat isi kandungan surat yang ditandatangani dan dihantar Hadi ke istana pada 2 dan 3 September lalu.

"Surat-menyurat diuruskan secara terus antara Hadi dan istana tanpa melalui pejabat Setiausaha Agung," katanya.

Mat Sabu hari ini mengesahkan beberapa laporan media mengatakan PAS tidak menamakan Adun PKR dan menghantar nama seorang lagi Adun mereka dan perkara itu berada di luar pengetahuannya dan AJK Pusat parti.

"Laporan tentang kenyataan itu juga ada menyebut Setiausaha Agung mengakui PAS menyenaraikan salah seorang exco PAS sebagai calon menteri besar.

"Kami, AJK PAS Pusat tidak tahu menahu akan nama baru ini kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang mengendalikan urusan harian pentadbiran dan strategi parti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Mustafa semalam berkata PAS menghantar dua nama Adun PKR dan seorang Adun PAS kepada istana, tetapi tidak mendedahkan calon terbabit.

Sumber dalaman PAS kemudian memberitahu, surat pencalonan pertama Hadi kepada Sultan pada 2 September dihantar sendiri melalui pejabatnya.

Bagaimanapun, selepas Majlis Syura Ulama yang bermesyuarat di Kota Baru membuat keputusan menamakan dua calon PKR dan seorang calon PAS, Hadi keesokannya membuat pusingan 'U', menghadap Sultan dan menghantar surat kedua menarik balik senarai calon sebelumnya.

"Kandungan surat kedua itu kemudiannya baru dimaklumkan kepada pemimpin PAS lain, termasuk Mustafa," katanya.

Laporan Utusan Malaysia hari ini memetik kenyataan Mustafa mengatakan keputusan menghantar nama dua Adun PKR dan seorang Adun PAS dibuat Majlis Syura Ulama.

Namun, dua nama PKR itu bukannya Dr Wan Azizah dan Azmin, sebaliknya Dr Idris Ahmad (Adun Ijok), Yaakob Sapari (Adun Kota Anggerik) serta Exco negeri yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad.

Bagaimanapun, Mustafa enggan mendedahkan nama ketiga-tiga Adun yang dihantar parti itu kepada istana kerana ia berkaitan dengan Majlis Syura Ulama.

Laporan The Star Online semalam mengatakan PAS menghantar nama tiga Adun daripada partinya iaitu Iskandar serta dua rakan Exconya, Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi untuk dipertimbangkan sebagai menteri besar baru, dipercayai merujuk kepada surat pertama yang dihantar Hadi.

Mustafa dalam responsnya semalam bagaimanapun menafikan laporan itu atas alasan nama terbabit sudah dibatalkan.

"Laporan itu tidak betul kerana cadangan untuk mencalonkan ketiga-tiga nama itu sudah dibatalkan," katanya kepada The Malaysian Insider. – 5 September, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kecewa-dengan-azmin-hadi-calonkan-sendiri-3-adun-pas#sthash.am9t7vI6.dpuf
0 Komentar untuk "Kecewa dengan Azmin, Hadi calonkan sendiri 3 Adun PAS "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI