Exco tinggalkan dewan semasa Ketua Pemuda PKR baru berucap - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Exco tinggalkan dewan semasa Ketua Pemuda PKR baru berucap

Baru sahaja memenangi kerusi Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berdepan saat getir apabila 14 daripada 16 ahli exconya bertindak meninggalkan dewan sebaik dia memulakan ucapan sulungnya di penghujung Kongres Tahunan sayap parti itu hari ini.

Mereka tidak puas hati kerana Nik Nazmi akhirnya memegang jawatan itu selepas mengalahkan Amiruddin Shari and Mohd Nazree Yunus dalam pemilihan parti sedangkan keputusan undi tidak rasmi sebelum ini mengatakan Amiruddin menang dengan majoriti tipis.

Mengikut keputusan rasmi, Nik Nazmi yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia mendapat 4,509 undi sementara Amirudin yang juga Adun Batu Caves memperolehi 4,259 undi. Nazree, naib ketua Pemuda PKR sebelum ini, hanya hanya meraih 2,213 undi.
Seorang jurucakap untuk exco yang sembilan itu mengatakan Amiruddin sepatutnya memenangi jawatan tertinggi sayap parti itu.

"Nik Nazmi hanya menang selepas undian semula dibuat membabitkan bahagian Pensiangan," katanya, merujuk kepada proses pengundian di salah satu bahagian di Sabah itu yang mengalami masalah dalaman.

"Kami sudah menghantar bantahan kepada jawatankuasa pemilihan parti tetapi ia ditolak. Ini akan jadi satu permulaan yang sukar buat Nik Nazmi. Dia terpaksa berusaha keras meyakinkan mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan itu untuk bekerja dengannya," katanya yang enggan dinamakan.

Bagaimana pun, Nik Nazmi tidak mengambil serius tindakan keluar dewan ahli exco itu, mengatakan semua orang mesti menerima keputusan rasmi yang dikeluarkan.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menegaskan tiada masalah bekerja dengan sesiapa pun selagi mereka komited terhadap perjuangan parti.

"Musuh kita bukan dalam dewan ini atau dalam parti. Musuh kita ialah Umno-Barisan Nasional," katanya.

Nik Nazmi yang mengambil alih tampuk kepimpinan sayap pemuda dari Shamsul Iskandar Mat Akin menyifatkan perkara itu sebagai masalah kecil yang tidak akan berpanjangan.

"Nak merajuk berapa lama... Saya rasa ini sementara, macam orang berkahwin, bercinta," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan barisan exco berkenaan.

"Nak merajuk berapa lama... saya rasa ini sementara, macam orang berkahwin, bercinta," kata Nik Nazmi kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan barisan exco berkenaan.

Katanya yang penting bukannya melayan karenah politik sesiapa tetapi memberi tumpuan kepada memenuhi keperluan rakyat.

Dia menyifatkan tindakan keluar dewan itu seperti perbalahan dalam keluarga dan tidak serius seperti kes pada 2007 apabila Shamsul terpaksa menjadi ketua selepas ketua waktu itu Mohamad Ezam Mohd Nor meninggalkan parti.

"Rakyat tidak berminat dengan cerita dalam kelambu, mereka mahu melihat penyelesaian isu menteri besar Selangor dan pelantikan segera Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mendapat sokongan majoriti lebih dua pertiga Adun, sebagai menteri besar," katanya.

Nik Nazmi berkata, dia sedia berbincang dengan kumpulan itu bagi menyelesaikan rasa tidak puas hati mereka.

"Saya terbuka untuk berbincang, tetapi mereka perlu terbuka. Saya faham masalah masa pemilihan yang panjang, tetapi kita perlu teruskan. Rakyat ada banyak isu yang perlu diselesaikan," katanya.

Nik Nazmi turut berkata, keputusan PKR memberikan kuasa yang lebih kepada akar umbi sedikit sebanyak mencalarkan proses pemilihan kali ini.

"Ia bukan sahaja mencalarkan imej PKR sebagai parti yang mendukung reformasi pilihan raya, tetapi lebih berbahaya apabila ia dijadikan alasan oleh setengah pihak yang mendakwa 'pengukuhan kuasa akar umbi' yang cuba diterapkan melalui sistem itu gagal dan tidak boleh dijadikan alternatif," katanya ketika berucap di kongres berkenaan.

"Saya menolak tuduhan itu. Ya, kita perlu kaji semula prosesnya dengan lebih teliti," katanya lagi.

Beliau berkata, PKR perlu mengkaji skop sama ada lebih praktikal memfokuskan pemilihan “seorang anggota satu undi” hanya untuk kalangan pimpinan paling kanan.

Bagaimanapun, dia menegaskan prinsip tersebut satu kelainan dalam PKR berbanding parti lain yang harus dipertahankan.

Pemilihan PKR bermula Mei dan hanya berakhir bulan ini. Sepanjang proses itu, terdapat beberapa kes yang memerlukan pengiraan semula di beberapa kawasan.

Selain itu, turut berlaku insiden pergaduhan antara penyokong pimpinan yang bertanding sehingga ada antara jentera yang tercedera. – 22 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/exco-tinggalkan-dewan-semasa-ketua-pemuda-pkr-baru-berucap#sthash.gPGp3hDH.dpuf
0 Komentar untuk "Exco tinggalkan dewan semasa Ketua Pemuda PKR baru berucap "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI