UMcedel: Utusan pertahan Putrajaya, dakwa Agong juga ditamatkan perkhidmatan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

UMcedel: Utusan pertahan Putrajaya, dakwa Agong juga ditamatkan perkhidmatan

Kemelut isu jawatan Pengarah UMcedel Profesor Datuk Dr Redzuan Othman mendapat perhatian ramai pihak yang mula mempertikaikan kebebasan arena akademik dalam negara. Gambar fail The Malaysian Insider.
Akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia dilihat cuba mempertahankan Putrajaya apabila menyamakan isu peletakan jawatan Profesor Datuk Dr Redzuan Othman sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia (UMcedel) Julai lalu dengan penamatan pelantikan Yang-di Pertuan Agong yang mempunyai tempoh perkhidmatan selama lima tahun.

Pengarang kanan akhbar itu  Datuk Zaini Hassan turut membandingkan isu peletakan jawatan Redzuan itu dan berkata, ia perkara yang biasa berlaku dan beliau tidak boleh membuat kenyataan demikian hanya kerana marah apabila kontraknya ditamatkan.

"Ini nasihat saya kepada sesiapa yang menyesali ketidaksambungan kontrak tamat, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong apabila ditabalkan juga mempunyai kontrak untuk memegang jawatan selama lima tahun.

"Kalau Seri Paduka Baginda terikat sebegitu dengan kontrak dan janji maka kita rakyat biasa mestilah mengambil iktibar daripadanya," katanya dipetik dalam ruangan kolum Cuit di akhbar berbahasa Melayu itu hari ini.
Zaini dalam ruangan itu turut mempersoalkan kewajaran bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Profesor Tan Sri Dr Ghauth Jasmon yang membuat kenyataan terbuka mengaku sering menerima tekanan daripada Putrajaya semasa perkhidmatannya.

Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, bekas naib canselor tersebut pada penggal 2008 hingga 2013  tidak seharusnya membuat kenyataan sebegitu tambahan pula Ghauth terikat dengan Akta Rahsia meskipun sudah bersara.

"Persoalannya wajarkah pendedahan itu dibuat oleh seorang bekas VC sebuah universiti awam? Jika betul pun mengapa tidak tahu menyimpan rahsia.

"Apakah selepas bersara maka sumpah menyimpan rahsia sudah terpadam," katanya.

Antara lain, pengarang akhbar itu turut membandingkan Ghauth dengan bekas naib cancelor UM Profesor Datuk Dr Hashim Yaacob yang menerajui universiti tersebut dari 2003 hingga 2006.

Zaini berkata, bekas naib canselor itu meskipun tidak pernah menerima sebarang gelaran dan penghargaan, namun tidak memburukkan kerajaan secara terbuka.

Dalam ruangannya, Zaini turut menyertakan pengalaman Hashim ketika mentadbir UM dalam dan memetik bekas naib cancelor itu mengakui kerajaan tidak pernah campur tangan dalam mana-mana keputusan dibuat.

Dalam tulisan Hashim kepada Zaini juga menjelaskan beliau diberi kuasa sepenuhnya untuk mentadbir dan membuat keputusan asalkan ia tidak bercanggah dengan undang-undang dan peraturan sedia ada.

"Apakah saya bernasib baik dalam hal ini atau memang bukan kerja kerajaan untuk mengganggu tugas pegawai.

"Apabila kontrak saya ditamatkan maka dengan rela hati saya bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan tidak lagi memegang apa-apa jawatan dengan kerajaan, saya bersyukur kerana tidak pernah menggigit tangan orang berbudi kepada saya," katanya.

Pendedahan laporan The Malaysian Insider mengenai peletakan jawatan Redzuan akibat campur tangan Putrajaya mencetuskan konterversi dan mencetuskan kemarahan banyak pihak terhadap pelanggaran kebebasan akademik.

Sementara itu, Redzuan pada Sabtu lalu mengakui  jawatannya sebagai pengarah UMcedel tidak disambung kerana beliau akan bersara tahun depan tidak benar kerana kontraknya akan tamat hujung tahun ini.

Katanya, beliau menerima surat pelantikan sebagai pengarah UMcedel pada 28 Disember 2013 bagi tempoh 2 Januari 2014 hingga 31 Disember 2014.

Redzuan juga tidak dilanjutkan khidmatnya sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) walaupun dilaporkan mendapat undian tertinggi di kalangan kakitangan akademik fakulti itu untuk terus menjawat jawatan itu.

"Kontrak saya sebagai pengarah UMcedel tamat hujung tahun ini. Saya belum bersara lagi (waktu itu).

"Pada 30 Mac 2014, saya terima surat jawatan saya digantikan dengan Dr Amer (Saifude Ghazali)," kata Redzuan.

Perkara itu kemudiannya disahkan oleh bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataannya kepada The Malaysian Insider.

Saifuddin berkata, beliau tahu mengenai campur tangan kementerian berhubung jawatan Redzuan di pusat penyelidikan itu sejak kira-kira dua bulan lalu.

"Saya tahu perkara ini sejak awal. Saya tahu Prof Redzuan dipanggil oleh pengurusan universiti dan beliau dimaklumkan Kementerian Pendidikan tidak begitu gembira dengan beliau dan diminta meletakkan jawatan," katanya yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi Umno sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu. – 9 Julai, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/umcedel-utusan-pertahan-putrajaya-dakwa-agong-juga-ditamatkan-perkhidmatan#sthash.QMaYxGuw.dpuf
0 Komentar untuk "UMcedel: Utusan pertahan Putrajaya, dakwa Agong juga ditamatkan perkhidmatan "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI