Sharifah Aini yang satu - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Sharifah Aini yang satu

“Amy apa khabar?” tanya Sharifah Aini sebaik bersalaman dan mencium tangan bos saya, Harun Hassan pada satu ketika di pejabat Amir Enterprise, syarikat yang mengeluarkan beberapa buah penerbitan popular serta pengeluar beberapa filem blockbuster Melayu sekitar 1980-an.
Kini kedua-dua mereka telah pun menjadi arwah. Harun atau lebih dikenali sebagai Pak Harun kembali ke rahmatullah lama dulu dan  Kah Pah kira-kira seminggu lalu.

Legasi Allahyarhamah bukan sekadar catatan sejarah industri hiburan, tetapi liku-liku laluan kerjaya yang dilihat umum sebagai senantiasa berpaksi kepada akar. Walaupun ketika itu dia sangat popular dan masa yang berlalu sudah begitu jauh meninggalkan Seri Dewi
Malam, rakaman awal 1970-an yang menjadikan Kak Pah sebagai instant celebrity, dia tetap dengan gaya dan perwatakan tersendiri - sentiasa menghormati orang yang lebih tua.

Seorang sahabat menceritakan, dia pernah menaiki teksi yang dipandu dan diusahakan bapa Sharifah Aini pada sekitar 1977. “Semua orang tahu tentang teksi berwarna oren itu kerana itulah satu-satunya teksi jenis Ford Escort generasi kedua di bandar Johor Bahru masa itu. Teksi lain jenis Morris Marina”

Sahabat itu menaiki teksi tersebut dari stesen teksi berhadapan pawagam Capitol di pusat bandar untuk ke Maktab Alattas Al-Arabiah Al-Islamiah di Jalan Sekolah Arab - sekolah agama persendirian yang turut dihadiri oleh Sharifah Aini di zaman persekolahannya. Tidak hairanlah sekiranya Kak Pah boleh membaca Quran dengan baik dan mempunyai asas pendidikan agama yang begitu kukuh kerana sekolah tersebut merupakan satu-satunya institusi kecil yang menghasilkan pelajar cemerlang dalam bidang agama.

Apa yang lebih menarik lagi, Kak Pah ketika itu berdamping dengan ibu sahabat saya ini yang bekerja sebagai pegawai publisiti di sebuah syarikat filem di Singapura.  Bukanlah sesuatu yang luar biasa jika ibu sahabat saya ini didatangi di pejabatnya oleh tokoh seperti

Allahyarham Aimi Jarr yang baharu berjinak-jinak dengan dunia kewartawanan dan Bahyah Mahmud yang telah pun mengukir nama sebagai wartawan hiburan.

Katanya dia masih ingat, ibunya memimpin rombongan ke Indonesia bagi membawa penyanyi Malaysia/Singapura. Inilah antara persembahan terawal Kak Pah di luar negara. Turut sama dalam rombongan tersebut ialah penyanyi pop yeh yeh, Zam Zam.

Begitulah secebis kisah yang tak mungkin diketahui umum. Namun kematian Sharifah Aini adalah pemergian seorang diva malah seorang legenda muzik dan industri hiburan Malaysia.

Mungkin ada yang masih ingat saat bersejarah hari pengebumian Umm Kalsum, penyanyi Mesir yang mati pada 2 Februari 1975 apabila ratusan ribu, malah ada kata lebih sejuta berbaris di tepi-tepi jalan  mengiringi 'perjalanan terakhir' diva mereka.

Kak Pah pula mencipta nama jauh sesudah Umm Kalsum meninggal dunia namun bagi rakyat Malaysia Kak Pah adalah Umm Malaysia. Kak Pah menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun  jam 1.26 pagi Sabtu lepas tatkala rakyat kita sibuk memperkata siapa bakal
juara bola sepak Piala Dunia kali ini.

Kalau kita membuat perbandingan ternyata dari segi saiz orang ramai memberi penghormatan terakhir jauh lebih kurang berbanding ketika kematian Umm Kalsum. Lebih ketara tidak ramai kelihatan selebriti muda hadir melainkan selebriti yang sudah tidak lagi aktif. Kalau
tidak kerana kehadiran Siti Nurhaliza keadaan tentu lebih mengecewakan.

Umm Kalsum lebih bernasib baik. Walau ramai penyanyi baharu muncul dan menguasai industri media elektronik, Allahyarham tetap mereka tagih. Beliau sering diundang mengalunkan suara melalui lagu-lagu popularnya, dari 280 judul lagu, seperti Alf leila We Leila, Ana
Fintezarak, Fakarouni, Leilet Hob, Enta Omri dan Lessa Faker.

Pelek tapi itulah dunia seni. Selepas P Ramlee dan Sudirman, artis-artis lain bila meninggal dunia hilang dengan sendiri dari persada dunia seni yang pernah mereka nikmati. Populariti rupa-rupanya tidak kekal malah sebaik jatuh dari singgah sana populariti, mereka terus dilupakan. Mati pun kadangkala tidak dipedulikan peminat.

Sharifah Ani memilih kelainan pada saat-saat popularitinya menurun. Lebih banyak masa diisi dan dihabiskan  dengan kerja-kerja ibadah. Inilah hijrah bagi seorang anak seni bukannya dengan mengistihar menyokong parti pembangkang baharu dikatakan memulakan penghijrahan. Al-Fatihah.

0 Komentar untuk "Sharifah Aini yang satu"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI