KUALA LUMPUR - Elaun bulanan sara hidup Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tidak mencukupi memaksa golongan kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya (OKU) 'mengemis' dan menjual tisu di jalanan.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Masjid India dan Jalan Chow Kit, mendapati rata-rata peminta sedekah atau penjual tisu terdiri daripada golongan OKU yang tidak mampu bekerja dan hanya bergantung kepada sumber jualan tisu mahupun pemberian sedekah daripada orang ramai.
  
Seorang OKU, dikenali sebagai Fatimah, 50, berkata beliau dan suaminya, Ahmad, 53, terpaksa menjual tisu bagi menampung keperluan harian dan bayaran utiliti rumahnya setiap bulan kerana elaun bulanan sebanyak RM300 diterimanya daripada JKM masih tidak mencukupi.
  
"Walaupun bayaran sewa rumah ditanggung separuh oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setiap bulan, tapi kami masih lagi perlu menanggung kos lain seperti bil api (elektrik), bil air dan makanan harian yang memerlukan bayaran yang tinggi," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
  
Selain itu, Fatimah juga tidak bersetuju dengan cara pihak JKM menarik semula elaun bulanan diberikan kepada golongan OKU lain atas alasan tidak munasabah seperti anak yang ditanggung sudah meningkat dewasa dan mampu bekerja.
   
"Oleh itu, saya harap agar JKM lebih telus dan dapat mengagihkan peruntukan dengan sempurna kepada pihak yang benar-benar layak," katanya.

Sementara itu, seorang OKU iaitu Choo (bukan nama sebenar), 61, berkata hasil penjualan tisu hanya mampu diperoleh sekitar RM20 sehari.
  
Katanya, beliau juga menerima elaun bulanan yang sama daripada JKM, namun ia hanya mencukupi untuk membayar sewa bilik sahaja.
  
Menurut penjual-penjual tisu berkenaan, mereka membeli tisu menggunakan modal sendiri.
  
Sementara itu, Mohamad, 68, yang menghidapi penyakit untut selama hampir dua tahun terpaksa mengemis di jalanan untuk membiayai kos sara hidup dan rawatannya kerana masih belum menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak bertanggungjawab.
  
Seorang lagi pengemis, Mohamed Shakir, 40, pula berkata JKM tidak memberi sebarang bantuan kepadanya atas alasan fizikalnya yang sempurna dan tidak berstatus OKU.
  
"Walaupun saya tidak cacat tetapi saya ada masalah kesihatan dan tidak mampu dapat sebarang pekerjaan.
  
"Pihak majikan tidak mahu mengambil saya bekerja kerana latar belakang kesihatan saya yang pernah mengalami 'sakit jiwa' beberapa tahun lalu," katanya.
  
Katanya JKM sepatutnya tidak hanya memberi tumpuan kepada golongan OKU sahaja, tapi perlu memantau lebih luas kepada golongan kurang bernasib baik yang lain seperti gelandangan yang mempunyai masalah kesihatan dan disisihkan keluarga serta masyarakat.
  
Sementara itu, seorang OKU, warga Myammar, dikenali sebagai Abedah, 58, berkata beliau tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
  
"Saya berada di Malaysia selama hampir 20 tahun, dan sudah 12 tahun tidak dapat bekerja kerana menghidap kencing manis dan terpaksa dipotong sebelah tangan.
  
"Oleh itu, bagi menampung kehidupan saya dan anak saya yang juga OKU, saya terpaksa mengemis di jalanan dengan mengharapkan simpati orang ramai," katanya. - Bernama