NGO Dapur Jalanan tidak puas hati perjumpaan dengan Putrajaya - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

NGO Dapur Jalanan tidak puas hati perjumpaan dengan Putrajaya

Badan bukan kerajaan‎ (NGO) Dapur Jalanan tidak berpuas hati dengan hasil mesyuarat bersama Putrajaya pagi tadi kerana tiada pendekatan dan jalan penyelesaian dikemukakan kerajaan bagi mengatasi masalah golongan tidak berumah dan pengemis di ibu kota.

Koordinator Dapur Jalanan Hadi Khalid berkata, berdasarkan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, kementerian gagal memahami isu sebenar dan cuma melihat dari segi imej kebersihan bandar sahaja.

"Kementerian tidak memahami isu sepenuhnya kerana mereka lihat dari segi imej kebersihan Kuala Lumpur.

"Kami pula datang ke mesyuarat kerana nak bawa isu warga miskin kota tetapi tidak ada apa-apa jalan penyelesaian dapat dicapai‎," katanya kepada The Malaysian Insider di Petaling Jaya, hari ini.
Kementerian Wilayah juga dijangka mengadakan perjumpaan kedua bersama NGO tetapi Hadi menegaskan, Putrajaya sebaliknya perlu mengadakan pertemuan empat mata dengan golongan tidak berumah dan pengemis, bukannya melalui NGO jika mahu masalah ini selesai.

"Kami berkhidmat secara kebajikan sahaja tetapi untuk selesaikan secara keseluruhannya perlu ada perjumpaan dua pihak antara penguasa dengan gelandangan.

"Tanya rumah perlindungan bagaimana yang mereka mahu. Kerajaan patut libatkan mereka sekali," katanya.

Perjumpaan dengan Adnan tadi disifatkannya sebagai sesi "suai kenal" kerana pihak kementerian tidak mengemukakan alasan dan penyelesaian yang konkrit.

Wakil gelandangan yang dijemput Dapur Jalanan hadir sama mesyuarat tadi ketika ditemui berkata, pihaknya tidak gembira mendengar penjelasan Putrajaya dan akan meneruskan hidup mereka seperti biasa.

Mahu dikenali sebagai Tan, beliau berkata kerajaan sepatutnya menolong mereka menyelesaikan masalah termasuk menyediakan rumah dan bukannya mengenakan tekanan atau ugutan terhadap mereka.

"Mesyuarat tadi tak guna. Dia cakap kita dengar saja. Saya ingat dia (kementerian) tak tahu masalah sebenar," katanya kepada The Malaysian Insider.

Wong Kar Fai, dalam sidang media berkata, pihak kementerian dalam pertemuan mempersoalkan tindakan mereka memberi makanan percuma serta gelandangan yang kembali ke jalanan walaupun beberapa kali ditangkap penguasa, namun mereka hanya mendiamkan diri.

"Mereka (kerajaan) tanya sampai bila nak bagi makan free? Persoalan itu membuktikan kerajaan tidak ada struktur penyelesaian lagi," katanya.

Sementara itu, Koordinator Dapur Jalanan, Mandeep Singh dalam sidang media berkata, pihaknya tidak akan berganjak walaupun larangan pemberian makanan percuma dalam lingkungan 2 kilometer akan dikuatkuasakan kerajaan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, Dapur Jalanan akan terus beroperasi seperti biasa di Jalan Panggung, Kuala Lumpur setiap hari Sabtu dan tidak kisah jika dikenakan saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kami tidak akan berpindah. Nak saman? Teruskan," tegasnya.

Ahli pengasas Dapur Jalanan, Hishamuddin Rais pula menggesa agar kerajaan Malaysia memansuhkan Akta Orang-Orang Papa 1977 yang digunakan untuk menahan warga misikin kota tanpa bicara.

Katanya, warga miskin kota sudah lama ditindas oleh undang-undang dan polisi yang digubal atas alasan ingin menyelamatkan mereka.

"Sebarang dasar atau akta berkenaan isu warga miskin kota tidak patut dilaksanakan sebelum perbincangan diadakan untuk melindungi komuniti ini," katanya. – 8 Julai, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ngo-dapur-jalanan-tidak-puas-hati-perjumpaan-dengan-putrajaya#sthash.3vhKSFXG.dpuf
0 Komentar untuk "NGO Dapur Jalanan tidak puas hati perjumpaan dengan Putrajaya "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI