KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata tahun 2013 telah membawa hasil yang baik kepada negara susulan daripada perancangan serta pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
 
Menurut perdana menteri, kedua-dua program itu diperkenal bertujuan memajukan Malaysia ke arah kemakmuran sehingga aspirasi menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 tercapai.
 
"Pada majlis pelancaran Program Transformasi Negara 2013 di Angkasapuri malam tadi, saya ulangi keyakinan saya bahawa kita kini berada pada trek yang betul untuk mencapai aspirasi ini," kata Najib dalam catatan terbaharu beliau dalam Facebooknya.
 
Najib ketika melancarkan Laporan Tahunan GTP dan ETP 2013 malam tadi antara lain berkata GTP 2.0 berjaya mencapai kejayaan 104 peratus daripada sasaran keseluruhan pada 2013 dengan keberhasilan ketara dalam pengupayaan ekonomi individu dan masyarakat.
 
Beliau juga berkata, fakta kejayaan itu boleh dilihat melalui pelbagai manfaat besar yang telah dinikmati rakyat, termasuk melalui pemberian tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 melibatkan peruntukan berjumlah RM2.91 bilion yang dinikmati lebih 4.8 juta isi rumah berpendapatan rendah.  - Bernama