KUALA LUMPUR - Sambil mengakui ada juga tindakan kerajaan yang kurang tepat dalam menangani kehilangan  MH370, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia seperti juga keseluruhan industri penerbangan global perlu mempelajari dan bertindak berdasarkan pengajaran penting daripada tragedi itu.

Dalam satu ruangan pendapat yang disiarkan The Wall Street Journal, Najib berkata, pesawat itu hilang pada 8 Mac pada ketika sehingga menyebabkan kekeliruan maksimum - antara menara kawalan dua buah negara.

Beliau juga menarik perhatian bahawa pengawal trafik udara mengambil masa empat jam untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang itu.

"Pencarian itu dimulakan kira-kira ketiga lebih cepat berbanding semasa tragedi Penerbangan 447 Air France pada 2009. Bagaimanapun waktu respons perlu dan akan disiasat," katanya.
      
Penerbangan MH370 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur.

Gerakan mencari pelbagai negara dilancarkan, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman, sebelum pasukan mencari mengubah perhatian mereka ke perairan di barat Australia di selatan Lautan Hindi, separuh jalan ke Antartika.

"Tiada siapa nampak perkara ini, tiada siapa tahu kenapa tragedi itu berlaku dan tiada siapa tahu dengan tepat di mana ia berada. Itu, asasnya, cerita Penerbangan MH370 - sekurang-kurangnya buat masa ini," demikian tulis Najib dalam penerbitan yang begitu berpengaruh.

Beliau menarik perhatian walaupun disertai usaha pemikiran mereka yang begitu cerdik di dunia dengan tentera terbaik, kawasan pencarian kekal begitu luas seperti yang diingatkannya bahawa mencari pesawat dalam insiden yang disifatkan sebagai "pelik dan tidak pernah berlaku sebelum ini" akan menjadi tidak cepat mahupun mudah.

Tragedi itu, katanya, menyebabkan penderitaan yang amat berat bagi anggota keluarga penumpang dan anak kapal, dengan kekurangan bukti sahih seperti bangkai pesawat menyebabkan kehilangan itu akan menjadi lebih sukar untuk ditanggung.

"Tanpa bukti fizikal atau penerangan yang jelas mengapa tragedi itu berlaku, perhatian masyarakat secara semula jadi akan memberi tumpuan kepada pihak berkuasa - dan Malaysia menanggung beban kritikan itu," kata perdana menteri.

Bagaimanapun, Najib berkata beliau percaya, dengan peredaran masa, Malaysia akan dipuji kerana melakukan usaha terbaik dalam keadaan yang hampir mustahil.

Merujuk kepada usaha mengesan pesawat Boeing 777-200 yang hilang itu, beliau berkata ia bukan usaha yang kecil bagi sebuah negara bersaiz Malaysia untuk mengatasi sensitiviti tentera dan diplomatik, dan membawa 26 negara yang berbeza, bersama-sama untuk menjalankan operasi mencari semasa aman yang terbesar di dunia.

"Tetapi ada tindakan kami yang kurang tepat. Dalam beberapa hari pertama selepas pesawat itu hilang, kami memberi tumpuan untuk berusaha mencari pesawat itu kami tidak tidak mengutamakan komunikasi kami," kata Najib.

Seterusnya beliau berkata tiada satu pun yang dapat mengubah nasib MH370 sambil beliau berjanji bahawa Malaysia akan terus mencari pesawat itu selama mana masa yang akan diambil dan terus memberi kemudahan kepada siasatan bebas untuk belajar daripada mana-mana kesilapan.

"Kami telah mengetatkan langkah-langkah keselamatan di lapangan terbang dan para penyiasat mencari langkah-langkah lain untuk meningkatkan keselamatan," katanya.

Najib menulis bahawa satu daripada perkara paling menakjubkan tentang tragedi itu ialah pendedahan bahawa pesawat sebesar Boeing 777 itu boleh hilang, hampir tidak dapat dikesan.

Dalam era telefon pintar dan Internet mudah alih, pengesanan masa nyata pesawat komersial sudah lama tertangguh," kata Najib apabila beliau merujuk kepada laporan awal Malaysia berhubung MH370 yang termasuk cadangan untuk pengesanan masa nyata pesawat komersial.

Beliau berkata selepas Penerbangan 447 Air France 447 terhempas di Atlantik, para penyiasat mengesyorkan bahawa industri penerbangan memperkenalkan penambahbaikan yang akan membantu pasukan carian cepat mencari tapak kemalangan dan sampai kepada mereka yang terselamat, tetapi tiada tindakan diambil.

Merujuk kepada mesyuarat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di Montreal, Najib menggalakkan anggota-anggotanya untuk mengenengahkan ke hadapan cadangan mengenai masa nyata pengesanan pesawat.

"Kita juga perlu mempertimbangkan untuk menukar sistem komunikasi - iaitu transponder dan Sistem Pengendalian Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) - supaya mereka tidak boleh dilumpuhkan di pertengahan udara, " katanya.

Najib seterusnya mencadangkan supaya lokasi ping - yang diaktifkan jika pesawat terhempas - perlu bertahan sekurang-kurangnya 90 hari, daripada 30 hari pada masa ini.
     
"Jika bunyi ping kotak hitam MH370 itu bertahan 90 hari dan bukan 30 hari, pasukan mencari mungkin telah dapat mengesan kapal terbang itu sekarang," kata Najib.

Beliau juga menyifatkan "keseluruhannya tidak mencukupi" berhubung keupayaan kotak hitam hari ini untuk hanya merekodkan dua jam terakhir perbualan kokpit.

"Memandangkan bahawa iPhone standard boleh merakam audio 24 jam, sudah pasti hitam kotak harus mempunyai memori yang mencukupi untuk merekodkan perbualan kokpit untuk jangka masa penuh bagi mana-mana penerbangan," katanya.

Najib berkata apabila kotak hitam MH370 itu ditemui akhirnya, bahagian paling penting dalam perbualan kokpit - minit dan jam selepas pesawat itu pertama kali hilang - tidak ada.

Menurut beliau lagi pemancar pengesan kecemasan pesawat, yang mengeluarkan isyarat kecemasan apabila pesawat bermasalah, boleh juga dipertingkatkan kerana buat masa ini peranti tidak berfungsi dengan baik di dalam air, dengan jangka hayat bateri itu hanya 24 jam.

Najib berkata perubahan yang dicadangkan mungkin tidak menghalang berlakunya tragedi MH370 atau Air France tetapi mereka akan menjadikannya lebih sukar untuk pesawat itu hilang begitu sahaja, dan lebih mudah untuk mencari mana-mana pesawat yang mengalami nasib sedemikian.

Beliau juga berkata bahawa industri penerbangan bukan sahaja perlu belajar daripada pengalaman MH370 tetapi melaksanakannya.

"Dunia belajar dari Air France tetapi tidak bertindak. Kesilapan sama tidak patut dilakukan sekali lagi," kata beliau. - Bernama