KUALA LUMPUR - Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa mengamalkan pendekatan kesederhanaan dalam usaha mencapai keamanan global dan keharmonian.
  
Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Datuk Hussein Haniff berkata semua pihak perlu menolak dan membenamkan suara-suara ekstremisme dan bergerak ke arah menggalakkan budaya keamanan untuk menyelesaikan perbezaan.
  
Beliau berkata satu daripada elemen penting untuk memupuk perpaduan telah menjadi pendekatan kesederhanaan yang diguna pakai kerajaan Malaysia dan diterima rakyat Malaysia dalam menangani isu-isu yang meluas, termasuk meningkatkan hubungan antara agama dan antara budaya.
  
"Kejayaan kami sebagai sebuah negara yang progresif hari ini adalah disebabkan terutamanya oleh kesediaan rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan budaya bekerja ke arah matlamat yang sama dalam mencapai keamanan, keharmonian dan kemakmuran," katanya.
  
Hussein menyatakan demikian dalam kenyataan sempena sambutan Hari Wesak di PBB, New York pada Selasa.
  
Kenyataan beliau itu dihantar ke Bernama di sini, hari ini. - Bernama