SHAH ALAM - Kerajaan perlu terus membantu Malaysia Airlines (MAS) sekiranya masih mahu mengekalkannya sebagai syarikat penerbangan nasional.

Ketua Penyelidikan dan Perundingan Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata, sekiranya tidak, mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan menutup syarikat itu daripada terus menanggung kerugian.

“Sama ada kerajaan perlu lepaskan MAS atau tidak, bergantung kepada statusnya. Jika kerajaan masih lagi mahu jadikan MAS sebagai syarikat penerbangan nasional, kerajaan perlu ada pegangan dalam MAS.

“Segala susah senang MAS, kerajaan perlu bantu termasuk membiayai atau menawarkan bantuan. Tapi jika MAS dianggap macam syarikat biasa dan tiada keistimewaan, kerajaan boleh tutuplah,” katanya, semalam.

Dalam tembual dengan Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mungkin sudah terlewat untuk kerajaan menyelamatkan MAS.

Menurut Najib, pengisytiharan bankrap terhadap MAS mungkin jalan terbaik untuk menyusun semula syarikat itu yang mengalami kerugian selama beberapa tahun.

“Kita perlu lihat daripada semua sudut, dengan mengambil kira bahawa MAS merupakan syarikat berkaitan kerajaan. Ia bukan syarikat swasta jadi sudah tentu terdapat pelbagai kekangan. Ini merangkumi penerimaan pekerja serta orang ramai,” katanya.

MAS menerusi satu kenyataan 15 Mei lalu mengatakan syarikat itu mencatat kerugian RM443.4 juta pada suku tahun pertama, berbanding RM278.8 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam pada itu, Shazali berkata, MAS bagaimanapun masih mempunyai harapan untuk dipulihkan jika pengurusannya ditukar.

“Bukan semua syarikat penerbangan nasional mencatatkan kerugian. Mungkin silap MAS ialah pengurusannya yang tidak berpengalaman.

“Adalah lebih baik jika MAS memanggil individu yang berpengalaman dalam industri penerbangan untuk bantu pulihkan syarikat,” katanya.