PETALING JAYA - Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (Maseu) memohon campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pengurusan Malaysia Airlines (MAS).

Setiausaha Eksekutif Maseu, Mohd Jabbarullah Abd Kadir berkata, antara perkara utama yang perlu diteliti Perdana Menteri ialah berkaitan penstrukturan semula pengurusan tertinggi MAS.

Beliau mendakwa pihak pengurusan tertinggi yang dilantik sebelum ini tidak berpengalaman dalam bidang penerbangan serta gagal menjalankan peranan mereka untuk membawa keuntungan kepada MAS.

Mohd Jabbarullah berkata demikian dalam sidang media di pejabat Maseu di Subang Jaya hari ini.

Beliau berkata kesatuan itu juga mahu Perdana Menteri melantik individu yang lebih berpengalaman dalam industri penerbangan serta mampu membawa keuntungan kepada syarikat.

Selain itu, Mohd Jabbarullah meminta Perdana Menteri meneliti masalah kekurangan kakitangan yang merencatkan operasi syarikat berkenaan selain situasi petugas sedia ada terpaksa bekerja lebih masa.

"Ramai kakitangan MAS yang berhenti kerja kerana tidak tahan dengan pengurusan MAS, dan baru-baru ini, ada 30 jurutera MAS berhenti kerja dan masuk syarikat lain, dan ini merugikan MAS sendiri," katanya.

Beliau turut mengulas laporan berkaitan hasrat MAS untuk menjual unit kejuruteraannya sebagai sebahagian rancangan bagi meraih keuntungan.

Katanya, langkah itu tidak sepatutnya dilakukan kerana unit kejuruteraan adalah penting bagi setiap syarikat penerbangan.

"Maseu akan mengadakan piket pada 26 Mei ini bagi menentang perkara itu dan diadakan berdekatan bangunan MAS di Subang Jaya kerana kita berpendapat unit ini penting untuk MAS," katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/maseu-minta-pm-campur-tangan-pengurusan-mas-1.280959