HUDUD : SATU PENDIDIKAN & PENCEGAHAN YANG MURNI - BAHAGIAN 1 - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

HUDUD : SATU PENDIDIKAN & PENCEGAHAN YANG MURNI - BAHAGIAN 1



Alhamdulillah pengumuman telah dibuat oleh Kerajaan Brunei untuk meneruskan Hudud hari ini. Timbalan Perdana Menteri juga sudah buka ruang untuk bersama-sama mengkaji Hudud dengan PAS. Pemuda UMNO juga mahu menwujudkan jawatankuasa Ulamak untuk mengkaji Hudud, walaupun ada yang ditempelak dengan gambar aib individu Pemuda UMNO dengan dua wanita seksi. Yang menempelak dan yang ditempelak kedua-duanya juga perlu dididik dengan falsafah hudud.

Secepat itu juga masing-masing sibuk membuat kenyataan yang berbagai-bagai. Yang bukan Islam dan tidak faham hudud pun sibuk membuat pelbagai ungkapan yang tambah mengeruhkan suasana, rata-rata menolak perlaksanaan Hudud. Di kalangan umat Islam juga ada yang ‘belum bersetuju’ namun majoritinya menyokong.

Di RPWP, hampir setiap tetamu yang datang, termasuk dari kalangan yang bukan Islam, terutamanya pengamal undang-undang turut menyentuh soal hudud. Email dan inbox juga bertanyakan pendapat kami tentang hudud. Semua meminta agar kami kongsikan kefahaman dan pengalaman kami tentang hudud.

FALSAFAH HUDUD BERBANDING QISAS, DIYAT & TA’ZIR

HUDUD ialah salah satu dari bentuk hukuman di bawah undang-undang syariah. Hukuman itu ialah dari Allah dan tidak boleh dipinda-pinda. Ia juga tidak boleh ditebus atau dimaafkan oleh teori siapa sahaja di dunia. Itulah hukum hudud yang meliputi kesalahan-kesalahan seperti mencuri, berzina, minum arak, menuduh orang berzina, murtad dan menderhakai Daulatulislamiyah.

Ia tidak seperti hukum QISAS yang juga di bawah undang-undang syariah Islam yang menuntut pembalasan setara. Ia meliputi jenayah seperti membunuh atau merosak anggota badan. Ini disebut dalam quran “..jiwa dibalas jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka luka pun ada kisasnya.

DIYAT pula adalah hukuman yang membolehkan mangsa atau waris mangsa memberi keampunan kepada pesalah atau melalui denda. TA’ZIR pula adalah hukuman yang tidak ditetapkan dalam ketiga-tiga kumpulan hukum yang di atas. Ia mengikut pertimbangan hakim dan kesan moral jenayah yang berlaku.

Demikian tertibnya Allah melakarkan manual hukum untuk kita gunakan dengan selamat. Tidaklah seperti apa yang kita amalkan sekarang. Zina jenayah yang harus dimusnahkan sebelum ia memusnah generasi, hanya didenda dengan RM500 sahaja oleh hakim. Bagi waris yang tidak puashati, rogol dibalas dengan rogol, bahkan ada yang menyimpan dendam sehingga membalas dengan bunuh bersambung keturunan bagi kesalahan yang lebih kecil dari itu.

PENERIMAAN NON-MUSLIM

Mungkin ramai yang bukan Islam akan rasa gerun apabila membaca penerangan tentang hudud dan qisas ini di perenggan di atas. Itu kerana ia hanya menceritakan tentang hukuman-hukuman yang mengerikan. Ingin kami tunjukkan kepada anda tentang konsep hudud menurut Islam sehingga jika ia difahami, tiada siapa yang akan menolak sekalipun mereka bukan Islam.

Piagam Madinah yang dirintis oleh Nabi Muhammad SAW meliputi semua masyarakat di Madinah pada ketika itu sebagai sebuah Daulatulislamiyah (negara Islam dengan masyarakat majmuk). Perlembagaan Madinah ketika itu ialah Al-Quran. Ternyata ia mampu untuk mendamai dan mentadbir secara adil masyarakat Ansar & Muhajjirin (Islam) serta golongan Yahudi dan Nasrani.

Madinah menjadi aman dan tidak porak peranda. Hukum Syariah Islam yang dilaksanakan oleh nabi itu bukan sahaja tidak ditentang oleh yang bukan Islam, bahkan mereka sanggup membayar jizyah kerana orang Islam membayar zakat.

Kita yang Muslim harus terima hakikat apabila DAP & MCA juga kaum yang mereka wakili memberontak tentang perlaksanaan hudud. Itu bukan salah mereka tetapi adalah kelemahan kita dalam menjelaskan falsafah dan perlaksanaan sebenar hudud itu sendiri.

Kami telah laksanakan hudud di RPWP semenjak hari pertama ditubuhkan kira-kira sedekad lalu. Tiada pula yang dipotong tangannya atau mati direjam. Mengapa? Kerana hudud yang sebenarnya ialah satu pendidikan. HUDUD itu sendiri satu istilah dari bahasa Arab yang berasal dari perkataan HAD (Batas/Had/Limit). Apabila dijamakkan lalu ia menjadi HUDUD (batasan/had-had/limitations). Sudah nampak apa sebenarnya hudud?

Islam itu mudah dan ia tidak mungkin menyusahkan sesiapa termasuk yang bukan Islam. Malangnya, hari ini ramai yang bertempik tentang hudud juga tidak jelas tentang hudud. Yang mereka fikir ialah pencuri mesti kena potong tangannya. Pecahan kanun jenayah melalui katagori hukuman di bawah HUDUD, QISAS, DIYAT & TA’ZIR itu sendiri adalah satu bentuk pembatasan agar hukuman itu adil dan tidak berlebih lebihan.

Islam itu jauh lebih adil dalam menimbang sehingga kes curi juga perlu tahu mengapa mereka mencuri. Adilkah Islam jika menghudud pencuri yang mencuri kerana anak di rumah kelaparan tiada susu. Adilkah jika menghukum penzina yang berzina disebabkan urusan pernikahan terlalu dipersulitkan dengan kos pelamin, hotel, kereta pengantin, hantaran berupa smartphone mahal dan ipad (contohnya) dan banyak lagi?

Hudud bukan sekadar potong tangan, sebat dan rejam. Islam lebih cenderung mencegah bukan menghukum walaupun hari ini operasi Jabatan Agama lebih kepada menangkap orang BERZINA berbanding membendung gejala yang mampu mencambahkan zina seperti konsert dan aktiviti hiburan. Ia satu pembatasan yang berlaku dalam undang-undang syariah. Polis negeri Perak yang tahan kereta salah masuk jalan sehala pun masih ada budi bicara bila dilihat nombor pendaftaran dari Singapura. Hukuman hudud ialah milik Allah dan tidak boleh dipinda. Tidaklah sebat 100 rotan boleh ditukar jadi denda RM500.

Kepada masyarakat bukan Islam, seruan kami agar anda baca baik-baik dan bersangka baik. Sistem undang-undang syariah ini akan memberi kebaikan dan keadilan. Anda juga mahukan hidup aman di bumi ini. Tertinggal duit di meja food court pun ada orang kembalikan semula. Tinggalkan anak gadis di rumah bersendirian pun kita tak risau esok masuk front page akhbar kes rogol dan bunuh.

Walaupun berat kenyataan ini namun ingin kami katakan juga… Dahulu, kebanyakan kes pembunuhan bersenjata api, rompakan ganas dan besar besaran kita dengar dari penjenayah berbangsa Cina atau India. Hari ini kami pun malu apabila semua video dan berita yang terpapar di dada akhbar dan media sosial menunjukkan penjenayah sebegitu ialah anak Melayu sendiri.

Kita seharusnya kasihan dengan nasib mangsa, khususnya golongan yang lemah seperti kanak-kanak, wanita dan warga emas yang tidak mengira bangsa dan agama yang sering teraniaya. Teruknya keadaan kita sekarang sahingga penyamun, peragut, perompak dan pembunuh ini berani melakukannya di tempat awam, di hadapan orang ramai. Begitu ramai yang menonton jenayah itu berlaku di depan mata, namun mereka lebih sibuk merakam video daripada memanggil polis atau menolong mangsa yang teraniaya. Sedih dan mengerikan bukan?

Mereka ini harus dididik dan dihududkan semula. Yakinlah… kita perlukan hudud. Mereka harus diislamkan semula untuk menyelamatkan yang lain. Oleh kerana itu, kami rayu agar jangan sampai anda menghina Islam, satu-satunya agama yang akan mampu menyelamatkan hidup anda dan keluarga sampai bila-bila, biarpun anda tetap memilih untuk kekal menjadi ‘Non Muslim’.

Ingatlah, menyetujui perlaksanaan HUDUD yang murni dan sempurna akan turut memberi jaminan kepada keselamatan keluarga anda juga.

"Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah, 2:179)

PENGENALAN HAD-HAD (HUDUD) MELALUI PENDIDIKAN

Hudud (batas) itu harus dilaksanakan secara pendidikan terlebih dahulu. Tidaklah adil menghukum mengikut hudud jika pesalahnya tidak pernah tahu tentang had-had yang ditetapkan. Didik dahulu had (hudud), iaitu “rules and regulation, boundary and limitation”nya secara meluas, barulah boleh dijatuhkan hukuman terhadap perlanggarannya.

Hukuman tidak tertakluk kepada mereka yang melakukan lantaran kejahilan. ALLAH JUGA PENERIMA TAUBAT bagi mereka yang melakukan perlanggaran kerana kejahilan. Bukannya asal buat sahaja Allah terima taubatnya (QS:4/17,18). Hari ini, taubat boleh dimain-mainkan pula. Malam berzina, paginya mandi junub dan bertaubat atas tikar solat? Malam berikutnya diulangi lagi.

Jika Allah mengampunkan orang yang bersalah disebabkan kejahilan mereka, itu bermakna proses seterusnya dalam menghukum ialah PENDIDIKAN. Kenalkan batas-batasan itu dan itulah juga yang kami lakukan di RPWP.

Apa masalahnya untuk laksana hudud di kalangan bukan Islam? Betul juga kata Dr. Mahathir, tidak adil jika hudud untuk orang Islam dan sivil untuk bukan Islam. Hudud yang dilaksanakan dalam undang-undang syariah semasa Madinah dahulu meliputi kesemua masyarakat tidak mengira agama. Tetapi ia mampu dilakukan dengan adil.

CONTOH AMALAN HUDUD RPWP

Dari kecil lagi, anak-anak diberikan hudud. Pelbagai batas pergaulan rijal dan nisak kami hududkan. Pulang sekolah dan terus ke rumah, tidak menyinggah mana-mana itu juga HAD. Menonton TV ada hadnya. Berhibur juga ada hadnya, bahkan dalam urusan agama juga ada hadnya kerana Allah tidak menyukai orang berlebih-lebihan, sekalipun dalam urusan agama.

Hari ini Umat Islam terlalu ekstrim dalam urusan agama. Kita sibuk nak rejam orang lain berzina kerana orang itu bukan anak atau saudara kandung kita. Jika kena pada diri sendiri, mulalah kita rasa berbelah bahagi. Mulalah kita ikut menentang hudud itu. Jika dari awal lagi tidak mahu itu berlaku, langkah pencegahan perlulah dilakukan. Pencegahan terbaik ialah pendidikan.

Allah berfirman “Jangan menghampiri Zina”. Dalami ayat itu MENGHAMPIRI sahaja telah Allah larang apalagi melakukannya. Firman itu jelas bahawa Allah lebih mahukan kita MENCEGAH berbanding MENGHUKUM. Apabila kerosakan sudah berlaku, tiada guna lagi nak menghukum kerana ia telahpun rosak. Yang dara sudah hilang daranya, yang hidup sudah mati terbunuh, anggota yang normal sudah ada yang kudung, bahkan bayi yang lahir pun sudah mati dibuang sana sini.

Telah diriwayatkan bahawa, Nabi SAW berdolak dalik untuk menghukum seorang hamba Allah yang datang dan mengaku telah berzina. Berbagai bukti diminta untuk mengesahkan pengakuan itu, bahkan yang mengaku hamil pun diminta menunggu lahir bayi zina itu dahulu, sudah lahir pun diminta tunggu cerai susu dahulu. Itu satu tanda yang Nabi juga tidak berminat menghukum selain lebih berminat untuk mendidik sebagai cara pencegahan.

Dapat kita rumus bahawa Nabi SAW telah berjaya meletakkan nilaian “istighfar” (confession / mengakui kesalahan) kepada kita. Jika kita pandai beristighfar dengan pengatur kita dengan istigfar yang ikhlas tanpa tipu-tipu, ini juga mampu meletakkan had-had kepada kita semua. Contohnya bagi seorang anak, pengaturnya ialah ibu bapa, bagi menteri pengaturnya ialah PM, bagi ahli qariah...carilah imamnya. Beristighfarlah..

Nabi seru kita ajar anak solat ketika umur 7 tahun dan rotan jika anak ingkar pada umur 10 tahun. Itu juga hudud dan pencegahan kerana solat itu sendiri adalah satu tarbiah disiplin insaniah yang paling berkesan jika kita tahu bagaimana menerapkannya dalam kehidupan harian. Dalam solat diajar erti hidup tertib dan berprinsip, erti tegak berdiri, erti tunduk patuh, erti sujud mengabdi kepada Allah, Rasul, murobbi, ulilamri dan sebagainya.

Menghampiri zina pun telah Allah larang. Jelaslah Allah mahukan kita mencegah. Kami di RPWP membariskan tanda-tanda awal zina seawal anak berumur 3-5 tahun. Cara berjalan, cara bercakap, adab semasa duduk, sehinggalah apa yang mereka baca dan dengar, siapa kawan mereka dan banyak lagi.

Hatta, penggunaan tablet dan telefon pintar berinternet juga kami kawalnya agar ia tidak menjadi satu wasilah komunikasi yang akhirnya menjurus kepada zina. Itulah hudud awal kami. Dengan menghudud secara pendidikan, Alhamdulillah setelah hampir satu dekad kami berjalan tiadalah kiranya sesiapapun yang layak dihudud dengan rejam dan potong tangan sekiranya hukum hudud sudah terlaksana hari ini.

CEMBURU PENGATUR KELUARGA JUGA FALSAFAH HUDUD

Hari ini, ibu bapa tidak kisah anak berpeleseran. Tidak kisah anak meminta wang untuk belanja selepas waktu sekolah. Bapa tidak cemburu dengan anak dan isteri yang balik sehingga tengah malam. Tablet dan telefon pintar siap dibelikan yang teknologi terkini. Kononnya, atas dasar sayang. Dengan instrumen itu juga anak-anak kita berselingkuh berjumpa jantan lapar di air terjun dan di hotel-hotel murah. Ibu bapa langsung tak hudud kan mereka dari mendekati zina.

Sebelum anak didera 100 kali rotan kerana berzina, mulakanlah pendidikan dan DERA NAFSU anak untuk mematikannya dari MENGHAMPIRI zina. Jika MENTAL mereka tidak didera untuk semua langkah menghampiri zina, pasti nanti zina itu didekati dan akhirnya sampai juga kepadanya. Ketika itu, hudud yang wajar barulah rotan 100 kali. Namun itu sudah terlambat dan kerosakan tidak mampu diperbaiki lagi.

Sebelum isteri kita berselingkuh dan dihukum rejam sampai MATI, didiklah dahulu isteri kita. REJAMLAH NAFSU mendekati zina itu sehingga mati nafsunya untuk berselingkuh. Hari ini berapa ramai suami yang dayus, atau dengan bahasa modennya “sporting”, membenarkan isteri menumpang kereta rakan pejabatnya yang lelaki. Kami dah muak dengan aduan suami isteri jenis ini yang terlanjur dan melunjur berselingkuh dengan sengaja.

Bayangkan sejak gelap subuh isteri sudah keluar rumah bersama lelaki lain. Suami pula keluar membawa perempuan lain. Setengahnya tanpa rasa cemburu dalam gelap pagi meninggalkan anak di tepi pagar sekolah yang masih berkunci sampai trauma ketakutan. Pulang kerja pula sudah malam.

Berapa ramai suami yang dengan “percayanya” mengizinkan isteri berpakaian seksi seksa, bersolek tebal-tebal untuk bekerja? Sebagai pramugari penerbangan, artis atau model butik pengantin contohnya. Atau mungkinkah tubuhnya dijadikan umpan memikat pelanggan atau halwa mata bosnya?

Bila isteri dah terjerumus ke kancah zina, ketika itu sudah tidak perlu menangisi kesalahan diri apabila isteri direjam sampai mati. Yang direjam dah tentulah mati, yang jadi suami dayus itu juga yang masih terbayang-bayang visual isterinya sedang berselingkuh. Lebih parah jika ada gambar dan video. Itulah balasan orang dayus, di dalam dunia pun sudah rasa nerakanya.

Itu konsep hudud yang lebih kepada pencegahan melalui pendidikan. Jangan harap sekolah sahaja yang nak mengajar jika ibu bapa sendiri tidak pernah menjalankan hudud ke atas anak-anak mereka. Untuk menghudud anak, yang menghudud itu dahulu perlu menghudud diri sendiri. Bagaimana mahu dilukis garisan lurus sekiranya pembarisnya sendiripun bengkok.

KESIMPULAN

Sewajarnya hudud itu dimulakan sehingga benar-benar pendidikan tentang hudud (batas-had) dalam kehidupan mampu difahami dan dilaksanakan. Adalah zalim menghukum orang jahil yang tidak pernah dididik.

Pastikan juga pengurusan zakat, jizyah dan baitulmal semuanya efisyen dan adil. Semua rakyat miskin dibela. Hukuman harus juga mengambil kira ‘asbab’ mengapa kesalahan itu dilakukan. Saksi harus jelas dan sanggup menerima hukuman jika didapati memalsukan penyaksian.

Lebih baik melepaskan orang yang bersalah daripada menghukum orang yang tidak bersalah. Pastikan sebelum hukuman dijatuhkan, mereka telah ternyata melakukan atas dasar kefahaman dan kedegilan, bukan atas kejahilan atau desakan hidup.

Dengan itu, barulah Islam dipandang tinggi dan dihormati undang-undangnya oleh Non-Muslim. Pasti mereka juga setuju dengan hudud. Jika PENCEGAHAN MELALUI PENDIDIKAN itu dapat dilaksanakan, kami yakin tiadalah yang akan dipotong tangannya, tiada yang akan direjam sampai mati, malah kurang juga yang bakal menerima hukuman Qisas, Diyat dan Ta’zir.

Jika pun ada yang degil dan sempat tertangkap lalu hukuman ke atas jenayat berlaku, ia cukup sekadar memberi pelajaran kepada yang lain. Zaman Abasiyah dahulu, penjaranya besar tapi tiada penghuni. Sekalipun tiada yang dijatuhkan hukuman kerana berkesannya hudud pencegahan melalui pendidikan, persekitaran lebih aman berbanding apa yang berlaku sekarang.

Hari ini, hukum hudud potong tangan itu kita jaja sampai ke tahap boleh menghina agama milik Allah yang mencipta dan mendidik kita. Bila hudud tidak diamalkan, setiap hari ada sahaja pembunuhan, walaupun dengan sebab kecil. Ramai anak kecil, warga emas, wanita yang tidak berdosa terpotong tangan bahkan terbunuh akibat ragut, rompak dan culik. Tidakkah itu lebih zalim daripada memotong tangan orang yang mencuri?

Kami yakin dengan hudud yang murni, akan semakin aman dan sejahtera hidup kita semua TANPA MENGIRA AGAMA. Kami yakin bilangan yang terbunuh atau terpotong tangan kerana hudud akan berganda-ganda lebih kecil berbanding dengan akibat kejahatan manusia.

Bukankah hudud lebih adil dari undang-undang sivil? Mencuri pun akan disiasat sebab mencurinya. Jika kerana kejahilan MEREKA AKAN DIDIDIK, jika kerana kesempitan, MEREKA AKAN DITOLONG, bukan dipotong tangannya.

SETELAH dididik, dibantu kesempitannya tetapi tertangkap mencuri juga buat kali kedua, wajarlah jika tangan dipotong untuk mencegah (HUDUD) dari merosak orang lain. Ini lebih baik daripada ia terus menerus menjadi ancaman kepada kesejahteraan insan lain. Adil bukan? Mahukah tangan anda dipotong oleh peragut yang anda tidak mahu dipotong tangannya?

Kami juga ingin membuat tawaran kepada sahabat Non-Muslim jika ada sebarang pertanyaan supaya kekeliruan dan kekusutan dapat dirungkai. Kami yakin, jika ia dijelaskan dengan baik, bukan sahaja anda, bahkan sekiranya Mendiang Karpal Singh masih hidup, beliau juga pasti akan bersetuju dengan perlaksanaan Hudud ini.

0 Komentar untuk "HUDUD : SATU PENDIDIKAN & PENCEGAHAN YANG MURNI - BAHAGIAN 1"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI