KUALA LUMPUR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meminta umat Islam supaya bijak membandingkan antara konsep jihad sebenar yang dituntut dalam Islam dengan aktiviti militan supaya ia tidak mensia-siakan nyawa mereka.

Beliau berkata, kebanyakan individu terlibat dalam aktiviti militan menganggap ia sebagai satu perjuangan jihad seperti membantu masyarakat negara Islam bergolak seperti di Syria.

“Namun setakat ini kita pun belum tahu pihak mana (di Syria) yang betul. Seperti kita tahu, ini merupakan perang saudara yang langsung tidak melibatkan Malaysia.

“Jadi saya tidak berapa faham, apa mereka (rakyat Malaysia) fikirkan sehingga sanggup menggadaikan nyawa untuk tujuan tidak berapa jelas,” katanya selepas melancarkan ‘Kedah Organics’ di sini, semalam.

Mukhriz mengulas dakwaan bahawa seorang ustaz dari Baling terlibat berperang di pihak mujahidin untuk menumpaskan kerajaan Syria yang tersebar luas di laman media sosial.

Beliau juga bimbang dengan laporan berita bahawa wujud latihan ketenteraan di Kedah secara rahsia melatih orang ramai untuk berjihad.

Sementara itu beliau menegaskan dasar Malaysia ialah tidak campur tangan dalam hal ehwal negara luar.

Mengenai isu pelaksanaan hudud, beliau berkata, pelaksanaannya memerlukan proses yang lama untuk difikirkan dengan mengambil kira pelbagai aspek.

“Kerajaan Kedah perlu meneliti terlebih dahulu cadangan yang dibuat Kelantan mengenai pelaksanaan hudud itu,” katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/perlu-tahu-beza-militan-jihad-1.276625