SHAH ALAM – "Perlembagaan boleh dipinda tetapi al-Quran tidak boleh dipinda'" demikian kemas kini status Twitter terbaharu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Status itu dilihat seolah-olah membidas kenyataan Pengerusi Biro Perundangan DAP Kebangsaan, Gobind Sing Deo, semalam.
Melalui status itu, Khairy berkata permasalahan hukum hudud bukan soal pelaksanaan sebaliknya penerimaan hukum tersebut.
“Apakah pelaksanaannya (hudud) praktikal dalam negara seperti Malaysia? Apakah kita mempunyai persekitaran yang sesuai untuk ia dilaksanakan? Itu soalnya.
“Hudud bertentangan dengan Perlembagaan? Perlembagaan boleh dipinda. Al-Quran tidak boleh dipinda. Soalnya pelaksanaan bukan penerimaan,” tulisnya pagi ini.
Semalam, Gobind menegaskan bahawa DAP tidak akan sekali-kali takut dengan sebarang ancaman dan bakal terus menentang pelaksanaan hukum hudud yang disifatkan melanggar peruntukan Perlembagaan dan bertentangan agenda PR.
Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya kini membuat persiapan dan akan memilih sesi sesuai di Parlimen untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan hukuman itu sebagaimana diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menganggarkan hukum hudud dapat dikuatkuasakan di Kelantan selewat-lewatnya Januari depan sekiranya tiada halangan dari Kerajaan Persekutuan untuk membolehkan rang undang-undang persendirian dibentang dan diluluskan di Parlimen.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/hudud-perlembagaan-boleh-dipinda-1.274144