KOTA BHARU - MCA tetap menolak cadangan kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini kerana bimbang pelaksanaannya akan menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti itu tidak menentang Islam malah menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara bagaimanapun cadangan pelaksanaan hukum hudud oleh kerajaan Pas Kelantan perlu menjaga sensitiviti rakyat berbilang kaum di negara ini.

"MCA telah mempunyai pendirian yang tegas iaitu kita menolak cadangan ini dan berharap pihak Pas dapat menarik balik cadangan ini. Kalau tidak boleh, DAP (rakan sekutu Pas) perlu menasihatkan Pas untuk tarik balik cadangan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu pejabat MCA Negeri Kelantan di sini, hari ini.
  
Tiong Lai berkata, cadangan Pas untuk melaksanakan hukum berkenaan tidak selari dengan semangat perlembagaan negara dan adalah lebih baik Pas menumpukan untuk melaksanakan "Negara Kebajikan" yang dijanjikan dalam manifesto parti itu pada pilihan raya umum lepas.
  
Beliau berkata, Malaysia sudah mempunyai satu sistem perundangan baik yang menjaga kepentingan semua kaum dan cadangan kerajaan Pas Kelantan itu hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Sebelum ini kerajaan Pas Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang- undang persendirian (Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember depan.
      
Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan dilaporkan berkata, pihaknya sudah menyiapkan draf untuk tujuan tersebut dan cuma memerlukan sedikit  penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/mca-bimbang-hudud-jejas-keharmonian-kaum-1.274285