PENSTRUKTURAN industri air di Selangor dan Lembah Klang bakal menjadi salah satu dari projek yang ditanggung dana awam yang terbesar dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Sebagai seorang yang sebelum ini paling lantang mengkritik apabila perjanjian konsesi dan perjanjian kerajaan dirahsiakan, saya berhadapan dilemma besar apabila Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai penstrukturan air yang isi kandungannya dirahsiakan dari rakyat.
Pada masa yang sama, saya telah mendapat satu salinan softcopy MoU itu pada hari Khamis 27 Februari 2014. Salinan itu diperolehi melalui Puan Arfaezah Aziz, Setiausaha Akhbar Menteri Besar. Melalui beberapa sumber, saya telah mengesahkan bahawa MoU yang ditandatangani adalah MoU yang sama dengan salinan softcopy yang saya perolehi.
Oleh itu, atas dasar prinsip ketelusan dan kesedaran (a matter of conscience) saya telah membuat keputusan untuk mendedahkan MoU ini. Ada beberapa persoalan besar yang perlu diperjelaskan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang bersabit dengan kepentingan awam.
Adalah menjadi harapan saya MoU dan komitmen yang dimeterai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim ini bolehlah dibahaskan dengan seobjektif mungkin demi menjamin kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia amnya.
Urusniaga Dibiayai Rakyat
Keseluruhan urusniaga jual beli aset air dan pajakan aset air yang terlibat di dalam penstrukturan ini akan dibiayai sepenuhnya oleh dana rakyat.
Kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) akan membeli aset air ini dari kerajaan negeri dan pemegang konsesi sedia ada.
Pembelian oleh agensi Kerajaan Persekutuan ini akan dibiayai melalui penerbitan bon yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Dalam erti kata lain, ia samalah dengan Kerajaan Persekutuan berhutang untuk membayar pemegang konsesi sedia ada.
Oleh sebab itulah, harga pampasan dan pembelian yang dibayar kepada pemegang konsesi adalah cukup sensitif kerana ia bersamaan dengan tanggungan hutang baru yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Lebih tinggi harga pampasan dan pembelian itu, maka lebih untunglah pemegang konsesi dan lebih tinggi hutang negara yang ditanggung rakyat.
PAAB kemudiannya akan memajak pula aset air ini (empangan, loji rawatan, sistem paip dan lain-lain) kepada syarikat baru yang dilantik sebagai operator selepas penstrukturan.
PAAB akan mengenakan bayaran pajakan tahunan (annual lease charges) ke atas operator ini. Lebih tinggi pinjaman yang ditanggung PAAB (dijamin Kerajaan Persekutuan), maka lebih tinggilah bayaran pajakan tahunan yang dikenakan ke atas operator kerana PAAB perlu mengumpul dana untuk membayar balik hutang.
Lebih tinggi bayaran pajakan tahunan, maka lebih tinggi kos yang ditanggung operator. Ini bermakna operator tiada pilihan lain kecuali menaikkan tarif air di Selangor untuk menanggung kosnya termasuk bayaran pajakan tahunan kepada PAAB.
Kerajaan Persekutuan juga akan menanggung kos pembinaan Projek Langat 2 melalui kaedah yang sama dan melibatkan dana awam, maka lebih tinggi kos Projek Langat 2 makin tinggilah hutang negara dan tarif air yang ditanggung rakyat.
Oleh itu, harga pampasan kepada pemegang konsesi sedia ada akan membawa kesan yang besar kepada rakyat melalui:
1. Hutang negara yang diambil oleh PAAB dan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan (ditanggung oleh rakyat)
2. Kenaikan tarif air akibat bayaran pajakan tahunan yang lebih tinggi (ditanggung oleh rakyat)
Kesan isi kandungan MOU
Saya khuatir isi kandungan MOU adalah berat sebelah yang berpihak kepada Kerajaan Persekutuan dalam beberapa aspek.
Projek Langat 2: Mengikat hanya di pihak kerajaan negeri
Pertama, keseluruhan dokumen itu adalah satu memorandum persefahaman sahaja yang tidak mengikat, kecualilah yang bersabit dengan kelulusan serta merta Projek Langat 2.
Rujuk Artikel 5(b) di dalam MoU yang secara jelas menyebut bahawa tanggungjawab Kerajaan Selangor ialah “memastikan bahawa semua kelulusan serta kebenaran yang berkaitan atau perlu (sama ada sedia ada dikenal pasti atau yang berbangkit atau susulan) berhubung pelaksanaan LRAL2 daripada Kerajaan Negeri Selangor atau pihak-pihak berkuasa yang berkenaan hendaklah bersifat mengikat dan tidak boleh batal (binding and irrevocable) dan berkuat kuasa sepenuhnya dalam apa jua keadaan dan tidak boleh ditarik balik, dibatalkan, digantung atau diubahsuai melainkan atas permohonan atau permintaan Kerajaan Persekutuan.”
Pada masa yang sama, semua tanggungjawab Kerajaan Persekutuan mengenai penstrukturan air hanyalah satu persefahaman yang tidak mengikat di sisi undang-undang. Tidak ada satu artikel lain pun di dalam MoU itu yang dirujuk sebagai mengikat (binding and irrevocable) kecualilah Artikel 5(b) bersabit kelulusan Projek Langat 2. Malah Artikel 5(b) ditulis khusus dalam konteks kelulusan Projek Langat 2.
Dari MoU itu, jelas bahawa kerajaan negeri telah pun memberi Kebenaran Merancang secara serta-merta (rujuk Artikel 5(a)) dan semua kebenaran lain termasuklah pengambilan dan pendaftaran tanah dalam tempoh 30 hari dari tarikh MoU.
Ini bermakna, Kerajaan Selangor seolah-olah melepaskan satu-satunya senjata yang ada untuk berdepan dengan Kerajaan Persekutuan iaitu Projek Langat 2 tanpa mendapat apa-apa komitmen yang mengikat dari Kerajaan Persekutuan.
Dengan lulusnya Projek Langat 2, kedudukan Kerajaan Selangor untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan dalam isu penstrukturan air adalah tempang.
Tidak menyentuh mengenai pemegang konsesi sedia ada
Kedua, MoU itu langsung tidak merungkai masalah terbesar yang selama ini membantutkan rundingan penstrukturan air iaitu keengganan pemegang konsesi sedia ada terutamanya Puncak Niaga dan Syabas menerima harga tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Selangor.
Di dalam MoU, tidak ada satu artikel pun yang merujuk kepada persoalan ini. Ia hanya disebut secara tidak langsung di dalam Artikel 3 iaitu tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memudahcara (facilitate) penstrukturan melalui peruntukan undang-undang, itu pun tidak mengikat kerana ia hanya satu persefahaman.
Ini bermakna, walaupun Projek Langat 2 telah diluluskan, status rundingan dengan pemegang konsesi adalah di takuk lama iaitu belum selesai. Tawaran yang dibuat Kerajaan Selangor perlu dijawab oleh pemegang konsesi menjelang 10 Mac 2013.
Jika pemegang konsesi bersetuju, rakyat perlu tahu secara terperinci harga tawaran akhir dan isi kandungan perjanjian untuk menilai kenapakah pemegang-pemegang konsesi ini tiba-tiba bersetuju kalau harga tawaran tetap sama, sedangkan mereka menentang selama ini.
Jika pemegang konsesi tidak bersetuju, maknanya Kerajaan Selangor terpaksa berunding dan mencari jalan baru kerana tidak ada komitmen yang mengikat di pihak Kerajaan Persekutuan untuk menyempurnakan penstrukturan ini.
RM2 bilion tambahan untuk ambil alih ekuiti pemegang konsesi sedia ada
Ketiga, Artikel 4(iii) menyebut bahawa “ selain daripada tawaran KDEB, Kerajaan Persekutuan melalui PAAB akan menyediakan peruntukan sejumlah RM2 billion untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam urusan pengambilalihan ekuiti Syarikat-Syarikat Konsesi Air.”
Saya menafsirkan ini sebagai bayaran tambahan yang akan dibuat kepada pemegang konsesi selain dari tawaran sedia ada Kerajaan Selangor (melalui KDEB) yang berjumlah RM9.65 bilion itu. Artikel 4(iii) juga perlu dibaca bersama dengan Artikel 4(i) yang menyentuh mengenai tawaran asal dari KDEB berjumlah RM9.65 bilion.
Ringkasnya, Kerajaan Persekutuan memberi persefahaman bahawa untuk mendapatkan persetujuan dari pemegang konsesi sedia ada, peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion akan digunakan untuk mengambilalih ekuiti pemegang konsesi.
Saya menafsirkan ini sebagai bayaran tambahan yang akan dibuat kepada pemegang konsesi, menjadikan jumlah bayaran pampasan kepada pemegang konsesi bukanlah RM9.65 bilion tetapi RM11.65 bilion (termasuk RM2 bilion tambahan).
Proses kelulusan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Keempat, kuasa yang ada mengikut Perlembagaan Negeri adalah dimandatkan melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco). Oleh kerana MoU ini tidak dibentangkan di Exco kerana hanya diketahui dan dimuktamadkan kandungannya hanya satu jam sebelum tandatangan (seperti kenyataan Puan Faekah Hussin yang merundingkan MoU ini), maka ia sudah tentu tidak melalui Mesyuarat Exco.
Tanpa kelulusan Mesyuarat Exco, kesahihan MoU ini boleh dipersoalkan.
Empat perkara di atas adalah maklumbalas yang boleh menimbulkan spekulasi dan perlu diperjelaskan secepat mungkin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.
Tanggungjawab saya adalah untuk memastikan rakyat tahu, seperti mana saya akan terus mendedahkan perjanjian-perjanjian lain yang melibatkan rakyat baik di pihak PR atau BN.
RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/isu-dalam-mou-penstrukturan-air-selangor-1.257259
0 Komentar untuk "Isu dalam MoU Penstrukturan Air Selangor"