MENAKJUBKAN! Itulah perkataan tepat yang sesuai digambarkan ketika menonton sendiri aksi penuh drama tiga bintang tersohor apabila bergabung di atas pentas yang sama menerusi Konsert Teaterikal: Suara Kita.
Menggandingkan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain dalam satu pentas selepas 20 tahun, ia bagaikan satu mimpi indah buat peminat setia mereka.
Diterbitkan oleh Awie Entertaiment Sdn Bhd, konsert selama tiga jam, yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 3 hingga 9 Mac, berjaya menonjolkan sisi kehebatan tiga nama ini dengan persembahan nyanyian dan lakonan yang penuh bertenaga.
Sebagai pembuka tirai, tayangan visual ketika zaman kegemilangan mereka terlebih dahulu dipaparkan buat tatapan penonton. Tayangan selama lima minit itu sarat dengan sejarah karier mereka, baik dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.
Pementasan kemudiannya diteruskan dengan lagu-lagu medley dendangan ketiga-tiga nama besar ini.
Lebih 20 lagu didendangkan sepanjang konsert berlangsung, antaranya Senja Nan Merah, Tragedi Oktober, Puncak Kasih, Yang Terindah Hanyalah Sementara dan Bara, yang menggamit hati penonton.
Memulakan segmen pertama, penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain, diberi kepercayaan memanaskan pentas menerusi persembahan solo dengan beberapa rangkaian lagu hitsnya.
Biarpun menghadapi sedikit masalah teknikal ketika Ziana menyanyikan lagu solo keduanya, Puncak Kasih, namun ia tidak mengganggu konsentrasinya.
Nyata suara lantangnya masih lagi kekal berbisa walaupun setelah sekian lama tanpa konsert atau persembahan pentas di khalayak ramai.
Nyanyian si ratu cantik, Erra Fazira, juga tidak kurang hebatnya. Walaupun bukanlah penyanyi bertaraf kelas 'A', Erra tetap memberikan persembahan terbaik dan tidak mengecewakan peminat. Malah suaranya masih lagi kedengaran 'manis dan manja' seperti di awal kemunculannya.
Menariknya, pelakon jelita ini turut menunjukkan bakat menari bersama barisan penari menerusi persembahan solonya, Pertemuan diikuti Jendela dan Pasrah.
Konsert dihangatkan lagi dengan persembahan penyanyi rocker, Awie, yang auranya begitu kuat sehingga setiap persembahannya diiring tepukan gemuruh penonton.
Turut menampilkan gitaris undangan iaitu Mira Fana dan Edrie Hashim bagi mengiringi nyanyiannya menerusi lagu Bujang Senang, vokal dan aksi bertenaga rockers yang berusia lewat- 40-an itu nyata mengejutkan peminatnya.
Menepati konsep teaterikal, tiga nama besar ini turut mengimbau kembali zaman kegemilangan mereka menerusi segmen kedua dengan menghidangkan beberapa babak daripada filem hits lakonan mereka, seperti Sembilu, Maria Mariana 1 dan 2, Tragedi Oktober, serta Merah.
Dimulakan dengan babak dalam filem popular, Sembilu, teater ini kemudian diakhiri dengan lakonan penuh emosi Erra dan Awie menerusi filem Merah.
Bukan saja babak, dialog popular menerusi kelima-lima filem itu turut menggamit perasaan penonton dan mengembalikan semula nostalgia kegemilangan mereka di awal 90-an dulu.
Biarpun sudah lama tidak berlakon bersama, mereka tetap serasi dan berjaya muncul dengan karakter masing-masing. Erra misalnya, masih terkesan dengan watak Watie dan Maria; Ziana sebagai Maria dan Awie sebagai dirinya sendiri.
Turut diselitkan dengan unsur komedi, nyata gandingan mereka mengundang gelak tawa penonton. Paling melucukan, apabila Awie yang terkenal dengan karakter 'garang dan ganas' bertukar menjadi 'lelaki lembut'.
Selain persembahan mantap ketiga-tiga pelakon, pentas teater dimeriahkan dengan penataan cahaya penuh warna-warni bagi menzahirkan setiap lakonan dan emosi.
Pujian juga wajar diberikan atas usaha gigih Awie Entertaiment Sdn Bhd, yang membawa masuk kereta mewah serta motor besar di atas pentas tersebut.
Boleh disifatkan sebagai pementasan yang sarat dengan set dan prop, namun ia dilihat sangat membantu menjayakan keseluruhan pementasan.
Penutup tirai, penonton disajikan paduan tiga suara artis kesayangan mereka menerusi lagu 'Suara Kita' yang pastinya menjadi momen indah.
Aksi romantis: Awie minta izin isteri
Selaku penganjur konsert teaterikal ini, pemilik kepada syarikat produksi Awie Entertainment Sdn Bhd, meluahkan rasa bersyukur dan teruja kerana hasratnya bergandingan bersama Erra dan Ziana dalam satu pentas akhirnya direalisasikan.
"Sebelum ini ada saja kontroversi dan fitnah tentang hubungan kami. Dengan konsert ini, terbukti bahawa kami boleh bekerjasama dan terus menjadi kawan baik. Terutama dengan Erra, tapi bukan Ziana," katanya dengan nada bergurau.
Bercakap mengenai konsep persembahan, Awie berkata konsert itu dilakukan dalam dua slot iaitu nyanyian dan lakonan teater.
"Pada mulanya kami bertiga sampaikan tiga buah lagu secara medley, kemudian setiap orang akan menyanyikan tiga buah lagu secara solo.
"Di slot kedua pula, persembahan teater muzikal yang menggabungkan lima filem popular yang pernah kami lakonkan bersama menjadi satu cerita," katanya yang menggunakan khidmat pengarah, Erma Fatima untuk menyusun jalan cerita.
Tambah Awie, lakonan mereka berdasarkan skrip sebenar daripada kelima-lima petikan filem tersebut namun 'adlib' berlaku ketika wataknya bertukar menjadi lembut sahaja.
Tegasnya, tiada banyak perubahan dilakukan bagi memastikan perjalanan teaterikal tersebut tidak terlalu meleret dan membosankan penonton.
"Mungkin malam ini kami terlajak 10 minit daripada yang dirancang. Tapi saya bersyukur segalanya berjalan mengikut perancangan.
"Terdapat juga aksi-aksi romantis yang ditampilkan bersama Erra, namun saya telah meminta kebenaran isteri terlebih dahulu sebelum berlakon.
"Pada mulanya isteri (Rozana) beri 'yellow card' bila mendapat tahu saya akan berlakon di samping Erra. Saya bersyukur isteri beri 'green light' sebelum pementasan dimulakan," katanya akan melancarkan album terbaharu Wings berjudul Monolog Kosmos, tidak lama lagi.
Dalam masa yang sama, Awie berkata, lagu Nurnilam Sari yang didendangkannya ketika di pertengahan konsert itu merupakan tribute kepada kumpulan rocker terkenal, Search.
Erra menangis kerana Awie?
Berlainan pula cerita dengan Erra Fazira atau Fazira Wan Chik, 40, yang sudah lama meninggalkan bidang nyanyian selepas mengambil keputusan menumpukan bidang lakonan.
Menceritakan pengalamannya, Erra berkata dia sebenarnya telah dipaksa menyanyi oleh pihak produksi.
"Sebelum ini, saya hanya mengetahui bahawa perlu berlakon sahaja dan tiada nyanyian seperti yang anda saksikan.
"Saya sangat gementar untuk beraksi satu pentas dengan Awie dan Ziana.
"Mungkin sebab sudah lama tidak beraksi bersama, apatah lagi menyanyi dan menari membuatkan saya risau dengan penerimaan penonton nanti," katanya.
Ketika di atas pentas, Erra sempat berkongsi pengalamannya dengan lagu Pasrah begitu dekat dengan kehidupannya.
"Sejak dari dahulu lagi, lagu ini seolah-olah menghambat hidup saya. Ia ibarat melekat dengan perjalanan hidup saya.
"Malah lirik lagunya menggambarkan apa yang saya lalui, dari dulu sehingga sekarang," katanya dengan nada bergurau.
Tambah Erra, gandingan mereka bertiga sedikit sebanyak mengimbau kenangan lama dari mula menceburi bidang lakonan.
"Kami bermula dengan nyanyian kemudian terjun dalam lakonan merupakan idea pengarah, Yusof Haslam. Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada kami bertiga sehingga berjaya seperti hari ini," katanya.
Ditanya mengenai lakonannya yang beremosi ketika di akhir persembahannya bersama Awie, Erra menegaskan ia bukanlah seperti yang disangka.
"Mungkin penonton melihat saya seolah-olah menangis kerana terlalu menghayati lagu itu. Sebenarnya bulu mata saya tercabut dan saya cuba membetulkan kembali kedudukannya," ujar Erra.
Ziana masih 'gedik'
Biarpun sudah sekian lama tidak berlakon, pemilik nama Siti Roziana Zin atau lebih dikenali dengan nama Ziana Zain, 46, mengakui terharu dengan sambutan yang diberikan penonton.
Siapa sangka sudah lama meninggalkan dunia lakonan, Ziana masih punya aura tersendiri memukau penonton dengan suara lantang yang masih kekal bertenaga seperti zaman kegemilangannya dulu.
Katanya, konsert itu mencipta sejarah tersendiri dalam lipatan hidupnya kerana setelah 20 tahun berlalu, mereka bertiga dapat beraksi dalam satu pentas semula.
"Ketika di awal kemunculan, kami bertiga sering digandingkan dalam filem Maria Mariana, Sembilu dan Tragedi Oktober. Kemudian kami sibuk mengejar kerjaya masing-masing menyebabkan kami jarang digandingkan bersama.
"Tetapi selepas menerima tawaran Awie berkongsi pentas, saya agak teruja dan gembira," ujar ibu empat cahaya mata itu.
Dia meluahkan rasa tidak puas hati selepas tamat persembahan dan berharap dapat lakukan lebih baik kelak.
Bercerita mengenai lakonannya, aksi 'gedik' dan watak antagonis dengan baik sehingga hadirin terhibur keletahnya itu.
"Ia pengalaman saya yang pertama berlakon teater. Sebenarnya agak susah untuk saya hayati kerana perlu berlakon, menari dan menyanyi dalam satu masa.
"Alhamdulillah... Saya anggap persembahan hari pertama sebagai percubaan belajar sehingga 9 Mac nanti," katanya yang bakal muncul dengan album terbaharu kelak.
http://www.sinarharian.com.my/hiburan/suara-kita-bukti-kehebatan-awie-erra-dan-ziana-1.257127
0 Komentar untuk "'Suara Kita' bukti kehebatan Awie, Erra dan Ziana!"