Zakat: 'Tahu tapi ramai tak buat' - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Zakat: 'Tahu tapi ramai tak buat'

SELEPAS 22 tahun diwujudkan, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yang ditubuhkan sejak 1991, terus unggul dalam melaksanakan kutipan zakat yang kian meningkat tahun demi tahun.

Banyak perubahan yang dibuat dalam tempoh lebih dua dekat itu, dalam usaha memberi kefahaman kepada masyarakat tentang pentingnya menunaikan zakat iaitu rukun Islam ketiga. 1 Oktober lalu, bekas Pengarah Jabatan Agam Islam (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, diberi mandat dalam menerajui PPZMAIWP apabila dilantik sebagai Pengerusi yang baharu.

Ikuti laporan disediakan Wartawan, Hidayah Hairom, tentang transformasi yang dilalui PPZ-MAIWP serta misi, visi dan harapan beliau dalam menerajui badan korporat itu.

SINAR HARIAN: Apakah usaha yang dilakukan pihak tuan bagi meningkatkan kesedaran berzakat kepada umat Islam?

DATUK CHE MAT: Menjadi tanggungjawab PPZ -MAIWP untuk memastikan semua golongan yang layak berzakat memahami dan sedar tentang kepentingan melaksanakan rukun Islam ke tiga itu. Apabila dilantik pada 1 Oktober, saya melihat banyak lagi ruang-ruang, seperti ahli perniagaan, korporat yang kadang-kadang mereka tidak begitu sedar atas kewajipan berzakat.

Sebab itu saya katakan, konsep saya sama ada di Jawi atau MAIWP, saya suka bertemu dengan pelanggan secara terus. Ini kerana apabila saya tanya sesetengah pekedai, dan ahli perniagaan di Kuala Lumpur, terdapat sebahagian yang tidak lagi mengeluarkan zakat.

Selepas ini, insya-ALLAH, hampir 100 peratus mereka ini diharapkan keluarkan zakat. Pendekatan bersemuka terus dengan golongan-golongan wajib berzakat akan menjadi antara usaha yang bakal saya pergiatkan  bersama-sama pegawai PPZ-MAIWP. Sebenarnya, tidak susah untuk mendekati mereka, kerana pada saya, orang Islam amat mudah dan tidak sukar untuk berzakat.

SINAR HARIAN: Apakah kekangan  menyebabkan masyarakat tidak mahu membayar zakat?

DATUK CHE MAT: Terdapat segelintir masyarakat tidak mahu mengeluarkan zakat kerana mempersoalkan ke mana hasil kutipan disalurkan dan akhirnya mereka memilih jalan derma sebagai ganti. Situasi itu nyata menyimpang daripada keperluan sebenar melaksanakan kewajipan berzakat.

Dua perkara itu adalah berbeza meskipun derma mempunyai pahala tersendiri, kerana dengan derma ia tidak sama sekali dapat menghapuskan rukun Islam ketiga iaitu zakat.

Hari ini, ramai yang berlumba-lumba untuk mengerjakan haji, dan berpuasa, namun tidak berzakat walhal, zakat itu sendiri merupakan rukun Islam ke tiga berbanding berpuasa (ke-4) dan menunaikan haji (ke-5).

Mereka kena percaya kepada pemerintah, di mana kutipan dibuat oleh badan dilantik bagi pihak kerajaan diberi tanggungjawab untuk mengutip zakat dan diagihkan oleh Baitulmal.

Ramai yang tidak sedar, seramai 17,000 fakir miskin diberikan bantuan bulanan, dan lebih 400 menerima bantuan dialisis secara percuma setiap tiga kali seminggu berjumlah RM3,680 sebulan setiap orang. Itu tidak lagi termasuk dengan bantuan bulanan RM400 hingga RM500 sebulan serta 28 skim bantuan lain yang diberikan.

Bagaimanapun, kepada golongan  berzakat dan telah menyumbang dalam pengagihan saya ucapkan terima kasih.

SINAR HARIAN: Dalam usaha melakukan transformasi dua dekad PPZ-MAIWP, apakah yang sedang dirancangakan?

DATUK CHE MAT: Dua dekad bukan satu tempoh singkat, justeru dalam tempoh itu juga PPZ-MAIWP melalui perubahan demi perubahan dalam konsep dakwahnya kepada masyarakat dengan satu tujuan, iaitu menggalakkan golongan wajib berzakat menunaikan zakat.

Dahulunya dakwah zakat dilakukan secara khusus kepada sasaran dengan turun padang ke kawasan perumahan dan juga syarikat bagi menghantar risalah zakat juga membuat temujanji bagi penerangan zakat.

Kini, kepelbagaian dakwah secara kreatif dilaksanakan bagi sasaran yang menyeluruh meliputi, ceramah; forum di syarikat-syarikat korporat dan kerajaan; seminar-seminar zakat; kolaborasi bersama ikon dakwah zakat; program-program di masjid; serta program Jejak Zakat di sekitar Wilayah Persekutuan, tidak terkecuali menerusi teknologi ICT yang kini menjadi pilihan utama masyarakat dalam urusan harian.

Setelah beberapa inisiatif yang dilaksanakan PPZ -MAIWP menerusi teknologi ICT, termasuk melalui pendekatan Facebook, Twitter, dan youtube, kini PPZ-MAIWP melangkah setapak lagi dengan pengenalan kepada aplikasi telefon pintar iaitu I-Zakat.

Pengguna IPhone dan Android juga boleh memuat turun aplikasi I Zakat bagi mendapatkan pelbagai maklumat untuk berzakat, di mana kita akan melancarkannya pada 14 Disember 2013.

Malah inisiatif terbaru juga membabitkan kaedah pembayaran iaitu menerusi pemotongan gaji. Baru-baru ini kita telah bincang dengan pegawai tinggi kerajaan bagi mekanisme pemotongan gaji kakitangan kerajaan agar lebih sistematik.

Perbincangan dibuat untuk tingkatkan lagi cara dan mekanisme pemotongan gaji yang bakal dilaksanakan pada 2014. Inisiatif sama turut akan dibuat untuk sektor-sektor lain termasuk swasta, semi-kerajaan dan bank-bank.

SINAR HARIAN: Berapakah jumlah kutipan yang disasarkan tahun depan?

DATUK CHE MAT: Dengan adanya pelbagai saluran yang disediakan, PPZ-MAIWP mensasarkan kutipan sebanyak RM500 juta bagi tahun hadapan.Melalui transformasi yang kami lakukan ini, tidak ada alasan lagi untuk tidak berzakat sekiranya sudah cukup syarat berzakat dengan kemudahan kaedah pembayaran yang diwujudkan.

Bagi PPZ-MAIWP, transformasi zakat dilihat sebagai satu kemajuan dan pihak kami sentiasa memperbaiki dakwah zakat kami dari semasa ke semasa agar tugas yang dilaksanakan dapat dijalankan sebaik mungkin dalam membantu meningkatkan ekonomi ummah


http://www.sinarharian.com.my/wawancara/zakat-tahu-tapi-ramai-tak-buat-1.229862
0 Komentar untuk "Zakat: 'Tahu tapi ramai tak buat'"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI