Cinderella hanya di pawagam! - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Cinderella hanya di pawagam!

PENGARAH, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, mengambil keputusan menayangkan filem arahan terbarunya, Cinderella, hanya di pawagam.

Mengulas mengenai perkara ini, Ahmad Idham berkata, ia merupakan satu langkah drastik yang perlu diambil, bagi memastikan survival industri filem tempatan yang kini bergelumang dengan masalah cetak rompak.

"Anda ingin tahu betapa serius masalah yang kami hadapi selaku penerbit? Sekarang ini, pengeluar  cakera video digital (DVD) asli sendiri tidak percaya dengan pasaran untuk DVD, akibat gejala cakera padat cetak rompak.

"Ini terbukti dengan mereka membeli hak milik pengeluaran DVD pada harga yang rendah iaitu sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sahaja.

"Ia harga yang rendah dan tidak munasabah dengan apa yang kami usahakan. Yang jadi mangsa gejala cetak rompak adalah kami!,” tegas Idham.

Terkilan dengan situasi itu, Idham berkata, pihaknya mengambil langkah pencegahan dengan hanya menayangkan filem terbitannya di panggung wayang.

“Kebiasaannya, sesebuah filem yang  selesai ditayangkan di pawagam selepas dua atau tiga minggu, akan ditayangkan di platform lain seperti DVD mahupun siaran televisyen berbayar. Jadi mulai detik itu, penerbit filem mula berhadapan dengan masalah cetak rompak.

“Baharu sahaja sesebuah filem terkini dikeluarkan dalam bentuk DVD asli mahupun ditayangkan di saluran televisyen berbayar, kita boleh dapati cakera padat cetak rompak filem berkenaan di pasaran.

“Itu belum lagi dengan muat naik tidak sah filem di Youtube," ujar Idham dalam nada kecewa.

Menurut Idham, isu cetak rompak di negara ini juga bagai tiada kesudahannya. Menyedari perkara itu, maka Idham sanggup membuat percaturan baharu demi menyelamatkan karya serta industri seni secara keseluruhannya.

"Langkah yang diambil, mungkin kurang popular, tetapi ia untuk kebaikan industri filem tempatan sendiri

“Jika mendapat sokongan menyeluruh daripada  rakan-rakan penerbit dan orang ramai yang sayangkan industri filem kita, saya yakin, langkah yang diambil ini pasti memberikan hasil yang positif.

“Filem harus ditonton di layar lebar untuk mendapatkan kepuasan tontonan. Bukannya di kaca televisyen mahupun di komputer riba ataupun layar telefon bimbit,” tegasnya.

Dengan kos RM 1.5 juta, Cinderella yang dibintangi Fizo Omar, Nelydia Senrose, Kamal Adli dan Erin Malek, hanya akan menemui penonton pawagam bermula 19 Disember ini

 http://www.sinarharian.com.my/hiburan/cinderella-hanya-di-pawagam-1.230498

0 Komentar untuk "Cinderella hanya di pawagam!"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI