PENERBIT dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam disahkan menghidap batu karang dan telah menjalani pembedahan menggunakan kaedah laser bagi menghancurkan batu karang berkenaan pada jam 1 petang, semalam.

Menurut isterinya, Datin Fatimah Ismail, 58, Yusof rebah di kediaman mereka di Taman Melawati, awal pagi semalam setelah mengadu sakit pinggang.

Katanya, dia menghubungi anaknya, Syamsul yang kemudiannya menghantar Yusof ke Hospital Tawakal, Kuala Lumpur.

“Selepas menjalani imbasan, doktor mengesan batu karang bersaiz lima milimeter (mm) di dalam buah pinggang Datuk dan terus membuat pembedahan menggunakan laser bagi menghancurkan batu karang berkenaan,” katanya yang ditemui Zass di pekarangan hospital.

Fatimah berkata, sebelum kejadian, suaminya menghadiri rumah terbuka Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Kamaruddin Siaraf.

“Datuk ada ke Seremban semalam dan melalui perjalanan pergi dan balik selama tiga jam kerana kesesakan lalu lintas. Selain itu beliau juga kurang minum air,” ujarnya.

Ketika penulis melawat beliau kira-kira jam 3 petang, Yusof masih menjalani pembedahan.

Dalam pada itu, pelakon Adi Putra mengurangkan kegusaran peminat selepas memuat naik status menerusi laman mikro Twitter memaklumkan dia kini beransur pulih.

Semalam, isteri Adi, Aida Yusof memuat naik beberapa gambar di laman Instagram yang menunjukkan Adi dimasukkan ke dalam ambulans dan gambar anak mereka di samping Adi.