Dulu tak mahu, sekarang mahu
Mohd Nizam menjelaskan pendirian MTEM mengenai TPP kepada media di ibu negara, semalam. - FOTO SINAR HARIAN AZMI ARYANTO
SEBELUM ini, pelbagai isu dibangkitkan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirunding Malaysia, termasuk kesan buruk ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mengehadkan kuasa kerajaan untuk menggubal dasar.

Kini, satu lagi isu berhubung TPP dicungkil, membabitkan pendirian kerajaan mengenai FTA dengan Amerika Syarikat (AS).

Seorang pakar undang-undang dan ekonomi dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa mempersoal mengapa Malaysia bersedia menandatangani perjanjian TPP yang disertai AS, berbeza dengan pendirian kerajaan sebelum ini.

“Apa yang berubah? Dulu Malaysia tak mahu tandatangan FTA dengan AS kerana ada 58 perkara yang AS mahu tetapi Malaysia tidak akan kompromi. Tetapi kenapa sekarang setuju?,” soalnya dalam perjumpaan tertutup dengan media Malaysia, semalam.

Beliau enggan dikenali.

Malaysia sebelum ini pernah mengadakan rundingan FTA dengan AS pada 2007 tetapi gagal selepas kedua negara tidak dapat mencapai persetujuan dalam banyak perkara.

Menurut pakar itu, AS mempunyai pendirian sama dalam semua rundingan FTA sebelum ini dan pendirian ini turut digunakan dalam TPP.

TPP agenda politik kekang China?

Hubungan perdagangan antarabangsa Malaysia-China juga dikhuatiri terjejas jika kerajaan tetap meneruskan hasrat menandatangani TPP.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Mohd Nizam Mahshar berkata, NGO itu menyokong penuh kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang TPP akan memberi kesan buruk kepada perdagangan negara dengan China.

“Apa yang dikatakan Tun Mahathir itu perlu diambil serius oleh kerajaan,” katanya semasa sesi penerangan TPP kepada media di Kuala Lumpur, semalam.

Statistik di laman web Kementerian Perdagangan Industri dan Antarabangsa (Miti) menunjukkan China adalah destinasi eksport kedua terbesar Malaysia (selepas Singapura) tahun lalu, iaitu 12.6 peratus daripada RM702.2 bilion nilai eksport negara, dan berada pada kedudukan sama bagi suku pertama tahun ini.

Mahathir kelmarin dilaporkan akhbar The Malaysian Reserve berkata, TPP akan memperjudi dagangan negara dengan China kerana TPP adalah usaha AS untuk mengekang kenaikan kuasa China di rantau ini.

“Malaysia patut ambil kira agenda politik di belakang TPP. Kita akan terikat kepada mereka. Apa saja dasar yang mereka buat akan menjejaskan hubungan perdagangan kita dengan China,” menurut Mahathir.

Beliau turut menegaskan TPP tidak akan menaikkan eksport Malaysia ke AS seperti yang didakwa.

Malaysia boleh disaman syarikat luar negara

Sementara itu, pakar undang-undang itu berkata, melihat teks rundingan TPP yang dibocorkan, Malaysia telah bersetuju semua pelabur luar mendapat layanan adil dan sama rata selama operasi atau pelaburan mereka di Malaysia.

“Ini bermakna Malaysia tidak boleh menukar peraturan dan undang-undang yang akan memberi kesan kepada pelabur atau pelaburan yang dibuat mereka kerana itu dianggap tidak adil dan kerajaan boleh disaman.

“Sedangkan sudah pasti kerajaan dari semasa ke semasa perlu mengubah dasar atas sebab tertentu seperti krisis kewangan atau hal persekitaran,” menurut pakar tersebut.

Beliau berkata, mengikut rekod sebelum ini, 81 peratus daripada kes saman terhadap kerajaan yang dibuat di bawah bab pelaburan seperti dirundingkan dalam TPP dimenangi syarikat multinasional, mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada kerajaan negara itu.

Beliau berkata, bab perlindungan pelaburan yang membolehkan syarikat asing memfailkan saman terhadap kerajaan bukan alasan untuk menarik lebih banyak pelaburan.

“Australia menolak sama sekali perlindungan ini. Perunding negara itu berkata, mereka juga ada syarikat yang beroperasi di luar negara dan mereka mahu syarikat Australia dilindungi tapi ada cara lebih baik, bukan seperti bab yang dibincangkan di bawah TPP,” katanya.

Kerahsiaan melampau TPP tidak boleh diterima

Beliau turut mempersoal kerahsiaan melampau dalam rundingan TPP yang akan masuk pusingan ke-18 di Kota Kinabalu, Sabah dari 15 hingga 25 Julai ini.

Pakar itu berkata, rundingan serupa dengan TPP sentiasa dijalankan di peringkat WTO tetapi proses rundingan itu jauh lebih telus.

“Dalam rundingan WTO, mereka menerbitkan dokumen dan memaklumkan apa yang telah dipersetujui atau tidak dipersetujui dari semasa ke semasa, malah wakil NGO turut dibenarkan memasuki bilik rundingan dan melihat sendiri bagaimana ia dijalankan.

“Rundingan WTO juga membincangkan isu sama seperti dalam TPP jadi saya tak faham kenapa rundingan TPP ini sangat dirahsiakan,” katanya.

Beliau turut berkongsi bagaimana FTA antara negara di benua Amerika termasuk AS gagal apabila teks rundingan didedahkan kepada orang ramai.

“Selepas 10 tahun rundingan dijalankan, pihak terlibat dalam FTA itu mendedahkan teks rundingan. Tetapi banyak pihak termasuk kementerian setiap negara menentang apa yang dirundingkan, jadi akhirnya ia tidak ditandatangani.

“Jadi kini apabila ditanya mengapa TPP begitu dirahsiakan, Wakil Perdagangan AS, iaitu sama seperti menteri perdagangan, berkata, kalau didedahkan, rundingan akan gagal seperti kes negara-negara Amerika itu,” katanya.

Manfaat ekonomi TPP tidak besar

Pakar tersebut juga skeptikal dengan hujah bahawa TPP memberi manfaat ekonomi besar kepada Malaysia.

Menurutnya, selain negara Asean, Malaysia telah pun mempunyai FTA dengan tiga anggota TPP iaitu New Zealand, Chile, Australia serta Jepun yang bakal sertai TPP minggu depan.

Malaysia melalui gabungan Asean turut mempunyai FTA dengan Korea, China dan India.

“Kalau dilihat dari sudut akses pasaran, Malaysia telah pun mempunyai pasaran bebas dengan negara yang terlibat dalam TPP.

“Jika alasannya adalah untuk mengeksport ke AS, bukan senang untuk memasuki pasaran AS dengan pelbagai peraturan yang mereka kenakan, walaupun cukai dihapuskan di bawah TPP,” katanya.

Beliau berkata, TPP adalah perjanjian yang berat kerana jika Malaysia bersetuju dengan TPP tetapi tidak dapat memenuhi perjanjian yang ditetapkan, negara boleh disaman di tribunal antarabangsa dan dikenakan sekatan ekonomi sehingga kerajaan menepati peraturan TPP.

Menjawab persoalan mengenai senarai pengecualian yang diambil kerajaan dalam TPP, pakar itu berkata agak sukar untuk menentukan sama ada pengecualian itu akan dipersetujui semua negara terlibat terutama AS.

“AS ada senarai pengecualian mereka, iaitu bagi PKS dan perniagaan etnik minoriti. Malaysia juga boleh kecualikan PKS tetapi Bumiputera bukan etnik minoriti,” katanya.

Politik negara tak sesuai untuk TPP

Sementara itu, Nizam berkata, MTEM telah menerima jawapan bertulis 14 muka surat daripada Miti berhubung tuntutan NGO tersebut yang meminta Menteri Miti Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi penjelasan mengenai 16 perkara yang dibangkitkan berhubung TPP.

“Melalui jawapan diberikan, kami masih tidak jelas dengan pendirian kerajaan dalam pelbagai isu yang dibincangkan dalam TPP jadi kami harap Miti boleh terangkan dengan lebih lanjut,” katanya.

Menyentuh isu TPP, beliau juga berkata, keadaan politik negara sekarang ini juga mungkin membawa masalah jika TPP ditandatangani.

“Kerajaan yang memerintah sekarang tidak lagi mempunyai majoriti dua pertiga jadi bagi sebarang dasar atau undang-undang yang mereka ingin gubal atau ubah, lebih sukar.

“Jika perkara ini berlaku dan undang-undang negara tidak diubah bagi memenuhi tuntutan TPP, Malaysia akan dituduh tidak memenuhi komitmen perjanjian dan boleh disaman di tribunal antarabangsa,” katanya.