KUALA TERENGGANU - Seri Manir Enterprise (SME) akan membelanjakan RM20,000 untuk mengimport hampir 5,000 pokok bunga orkid, kemboja dan pokok bunga kertas dari Thailand dan Sungai Buluh Selangor untuk pasaran hari raya ini.
  
Pengurusnya, Rofi Ali berkata pokok-pokok bunga itu telah dipesan untuk pasaran 15 hari sebelum hari raya, yang akan dijual di tapak pasar tani Padang Hiliran dan tapak semaian SME di Beladau Kolam.
  
Bercakap kepada Bernama, katanya pokok bunga ros dan bunga kemboja masing-masing akan dijual pada harga serendah RM7 hingga RM30 sepokok manakala
pokok bunga kertas RM5 sepokok.  

"Sambutan peminat terhadap bunga-bungaan ini sangat baik berdasarkan jualan kira-kira 2,000 pokok dalam tempoh seminggu sebelum ini," katanya, sambil menyatakan para peminatnya terdiri daripada golongan berada dan biasa.
  
Dalam masa yang sama, katanya SME mengimport bunga orkid plastik untuk pasaran hari raya ini.
  
"Tahun lepas saya tidak tempah bunga tersebut kerana tidak ada barang, tetapi tahun ini saya tempah kerana barang banyak," katanya. - Bernama