Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)
KUALA LUMPUR -  Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang melibatkan 12 negara, tidak akan ditandatangani pada Oktober ini seperti yang dijangkakan pada mulanya kerana ada banyak bidang yang belum dipersetujui.
  
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria, berkata rundingan TPP itu merupakan rundingan antara pihak yang setara tetapi walaupun sekiranya satu pihak tidak bersetuju, rundingan perjanjian itu tidak akan selesai.
  
"Perkara yang paling penting ialah kita tidak akan bertolak ansur dari segi kedaulatan Malaysia dan kita akan berpegang kepada dasar kita.
  
"Kita gunakan kemahiran berunding untuk mengetepikan perkara-perkara yang menyentuh kedaulatan," kata beliau pada forum dan dialog Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia mengenai TPP di sini hari ini.
  
Pada Oktober 2010, Malaysia mengambil bahagian sebagai satu pihak dalam rundingan TPP itu.
  
Sta Maria berkata Malaysia memilih untuk mengambil bahagian dalam rundingan-rundingan TPP lebih awal untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam proses rundingan itu dan agar dapat mempengaruhi keputusan.
  
Mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau berkata isu-isu berkaitan dengan PKS termasuk dalam rundingan-rundingan TPP itu. - Bernama