Realiti Ulasan Apa Yang Terjadi di MESIR - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Realiti Ulasan Apa Yang Terjadi di MESIR

Ketenatan Ekonomi Mesir - Beberapa Pengajaran untuk Aktivis Islam

Baru-baru ini dunia memerhatikan dengan penuh minat pergolakan politik yang berlaku di Mesir di mana Presiden Morsi telah cuba dihalang dari menggubal satu perlembagaan baru yang lebih baik dan lebih adil oleh puak liberal-sekular di Mesir serta oleh puak saki baki kuncu Mubarak yang dipanggil `Fulul'. Alhamdulillah, dengan bantuan Allah, Presiden Morsi telah berjaya mengatasi cubaan untuk menghalang beliau dan referendum yang diusulkan oleh beliau berkenaan perlembagaan baru Mesir mendapat sokongan sebanyak 64% para pengundi.  

Namun cabaran yang berada di hadapan Presiden Morsi masih banyak. Antara yang paling rumit adalah kemelut ekonomi yang sedang dialami oleh negara Mesir. Laporan terkini menyatakan bahawa kerajaan Mesir masih bertekad untuk berhutang sebanyak USD4.8 billion dari IMF, iaitu sebuah institusi riba yang terulung di dunia (Sila baca di sini:http://english.ahram.org.eg/News ... with-IMF-in-January,-currenc.aspx). Yang menjadi persoalan kepada ramai aktivis Islam di seluruh dunia ialah kenapakah Morsi sanggup untuk menandatangani kontrak hutang yang berbentuk riba di mana Mesir bersetuju membayar kadar bunga ke atas pinjaman tersebut walaupun jumhur ulamak menyatakan bahawa interest atau bunga adalah haram walaupun dalam kes di mana kadar yang dikenakan adalah rendah. 

Kenapa Presiden Morsi sanggup juga berhutang dengan cara yang melibatkan kadar bunga ini yang jelas bertentangan dengan Shariah? Sudah tentu sebab utama adalah situasi ekonomi yang terlampau tenat yang sedang dihadapi oleh Mesir. Walaupun pihak yang bertanggungjawab merosakkan ekonomi Mesir adalah Mubarak dan kuncu-kuncunya semasa mereka memerintah dahulu, namun sekarang rakyat mengharapkan Morsi akan dapat menyelesaikan masalah ekonomi negara kerana itulah janji beliau semasa berkempen dahulu. Oleh itu sekarang Morsi terpaksa mengotakan janji beliau. Tetapi bukanlah satu perkara yang mudah untuk memperbaiki ekonomi yang sudah ranap, terutama sekali dalam jangka masa yang pendek. Oleh kerana Morsi berada dalam kesempitan, beliau telah membuat keputusan untuk meminjam dari IMF, mungkin atas dasar `Dharurah' atau atas prinsip "akhaffudh-dhararain". Namun, keputusan Morsi meminjam dari IMF akan banyak menjejaskan imej beliau dan juga imej gerakan Ikhwan Muslimin kerana selama ini gerakan tersebut sangat lantang menyatakan bahawa Shariah adalah penyelesaian bagi semua masalah manusia. Sekarang sudah tentu agak pelik bila kita melihat kerajaan Morsi menyatakan bahawa berhutang dengan IMF secara Riba adalah antara langkah penyelesaian kepada masalah Mesir.

Cabaran yang dihadapi oleh Morsi memang sangat getir. Kita jangan lupa bahawa salah satu faktor utama berlakunya Arab Spring di negara-negara Arab adalah kerana situasi ekonomi yang tenat, terutama sekali dari aspek kadar pengangguran yang tinggi di kalangan belia. Jika keadaan ekonomi Mesir semakin tenat di bawah pemerintahan Morsi, akan menjadi sangat sukar untuk Morsi mengekalkan sokongan di kalangan rakyat Mesir. Kadar pengangguran di Mesir sekarang ini ialah lebih dari 12% (berbanding 3.2% di Malaysia). Di kawasan bandar di Mesir kadar pengangguran mencecah 16%. Ini adalah kadar yang sangat tinggi dan boleh menimbulkan rusuhan di kalangan belia, kecualilah jika kebanyakan belia di Mesir mempunyai kefahaman Islam yang betul. Ini adalah kerana dengan kefahaman tersebut, mereka akan menilai pemerintahan kerajaan Morsi bukan semata-mata atas kemampuannyamenyediakan peluang pekerjaan kepada mereka dalam jangka pendek, tetapi atas dasar usaha Morsi untuk melaksanakan Shariah sepenuhnya di Mesir dalam jangka panjang. 

Sekarang ini rezab matawang dollar Mesir telah jatuh dan oleh itu bank pusat Mesir tidak mampu lagi mempertahankan nilai matawang Mesir. Akibatnya nilai matawang Mesir telah jatuh dan ini menjadikan harga barangan yang diimpot meningkat tinggi dengan mendadak. Ini akan meningkatkan lagi kadar inflasi di negara itu dan menyusahkan rakyat, terutamanya dari kalangan yang berpendapatan rendah. Pada masa yang sama, nilai hutang luar Mesir sekarang yang berjumlah lebih dari USD33.7 billion juga akan meningkat secara mendadak apabila diterjemahkan ke nilai matawang Mesir. Sudah tentu ada juga sektor ekonomi yang akan untung dari kejatuhan nilai matawang Mesir seperti sektor barangan ekspot seperti kapas dan tekstil serta sektor pelancongan. Namun semua itu juga bergantung kepada situasi politik yang stabil. Sektor pelancongan Mesir sekarang dilaporkan terjejas teruk akibat persepsi bahawa Mesir adalah negara yang tidak stabil dan tidak aman.

Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT semoga Allah akan membantu Morsi dan gerakan Ikhwanul Muslimin mengatasi cabaran hebat yang sedang dihadapi mereka . Oleh kerana Morsi dikaitkan begitu rapat dengan gerakan Ikhwanul Muslimin, maka kejayaan Morsi mentadbir Mesir akan menjadi sumber inspirasi kepada gerakan Islam di seluruh Timur Tengah dan seluruh dunia. Ia juga akan menjadi bukti bahawa Islam adalah penyelesaian hakiki kepada masalah-masalah politik, ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh umat manusia sekarang ini di seluruh dunia. 

Bagi kita di Malaysia, satu pengajaran penting ialah keperluan untuk kita semua memastikan ekonomi negara tidak jatuh kepada tahap yang begitu tenat seperti di Mesir sekarang. Kita mesti cuba untuk memastikan supaya kerajaan sedia ada tidak melaksanakan polisi-polisi yang terlampau tidak bertanggungjawab yang akan merosakkan ekonomi negara sehinggakan kerajaan yang menggantikannya satu hari nanti akan mewarisi masalah ekonomi yang terlampau kronik yang tidak mampu diselesaikan. Lebih malang lagi jika kerajaan yang memerintah Malaysia satu hari nanti, walapun dikaitkan dengan Islam, tetapi masih terpaksa juga meminjam dari IMF secara riba sedangkan ajaran Islam dengan jelas menentang amalan Riba.

Oleh yang demikian, isu ekonomi dan hutang negara perlu dijadikan isu utama dalam diskusi politik di negara kita, bermula dari sekarang. Antara lain, aktivis Islam perlu lebih vokal dalam mengutuk amalan kerajaan yang suka berhutang secara Riba dalam mengurus bajet negara dalam diskusi-diskusi atau wacana politik. Satu lagi perkara yang perlu dipastikan ialah masyarakat Malaysia ditarbiahkan dari sekarang untuk pandai menilai kepimpinan negara di mana kejayaan pemerintahan bukan hanya diukur dari perspektif pertumbuhan ekonomi semata-mata atau atas dasar mengurangkan kadar pengangguran semata-mata, tetapi atas dasar usaha yang ikhlas untuk melaksanakan perkara-perkara pokok dalam Islam seperti mendirikan solat, memberi zakat, mengajak kepada kebaikan dan melarang dari melakukan kejahatan, sesuai dengan firman Allah: 

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ . 

Yang bermaksud: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (Al-Haj:41)

Oleh yang demikian, proses menerapkan kefahaman Islam yang syumul mesti terus dilaksanakan dan tidak boleh diketepikan semata-mata kerana para aktivis Islam sedang sibuk berbincang tentang isu-isu politik masa kini dan tentang kebobrokan serta salahguna kuasa oleh kerajaan sedia ada. Para aktivis Islam perlu disedarkan bahawa musuh mereka sebenar bukannya parti UMNO atau BN semata-mata, sebaliknya musuh sebenar mereka adalah semua bentuk pemikiran, nilai-nilai serta cara hidup yang bertentangan dengan ajaran Shariah.  Para aktivis Islam perlu disedarkan bahawa jika ditakdirkan Allah berlaku pertukaran kerajaan di dalam pilihanraya yang akan datang, ini tidak bermakna masaalah negara akan selesai dengan sekelip mata.  Pemikiran, sistem, nilai-nilai serta cara hidup yang bertentangan dengan ajaran Shariah masih akan tetap wujud dan oleh itu akan memerlukan usaha dakwah yang berlipat ganda dari mereka semua. Kerajaan yang memerintah dimasa itu nanti hendaklah disokong atau ditentang atas dasar kesungguhannya untuk melaksanakan perkara-perkara pokok dalam Islam dan bukannya atas dasar perkara-perkara duniawi seperti pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan pasaran saham atau kejayaan mengurangkan kadar pengangguran semata-mata.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk melaksanakan tanggung-jawab kita.

http://profnazari.blogspot.com/2 ... mesir-beberapa.html
0 Komentar untuk "Realiti Ulasan Apa Yang Terjadi di MESIR"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI