http://www.sinarharian.com.my/bisnes/bank-islam-mahu-ke-peringkat-asia-tenggara-1.182846
NUSAJAYA - Bank Islam Malaysia Berhad tetap meninjau peluang yang ada untuk mengembangkan perniagaannya sehingga peringkat rantau Asia Tenggara, terutamanya di Indonesia.
Pengarah Urusannya, Datuk Zukri Samat berkata, pada ketika ini, bank itu masih belum mengenal pasti calon rakan kongsi yang bersesuaian di dalam usahanya untuk menembusi pasaran luar negara.
"Setakat ini, kita masih belum ada peluang, tetapi jika ada, kita sememangnya berminat untuk melebarkan perniagaan ke Indonesia," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan zakat perniagaan Bank Islam berjumlah RM320,000 kepada Majlis Agama Islam Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Majlis itu disaksikan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sebelum ini, Bank Islam dikatakan sedang berunding dengan sebuah bank Islam di Indonesia bagi mengambil alih antara 30 hingga 40 peratus kepentingannya bagi membolehkannya meluaskan operasinya ke negara terbabit.
Sementara itu, Zukri berkata Bank Islam akan mengembangkan operasinya di negara ini dengan membuka lima cawangan baharu di seluruh negara sebelum berakhir tahun ini.
Ketika ini, katanya terdapat 130 cawangan bank berkenaan di seluruh negara termasuk terbaharu membabitkan cawangan Sungai Buloh, Selangor, yang dibuka hari ini.
Terdapat 15 cawangan Bank Islam di Johor ketika ini yang merupakan kedua terbesar selepas Lembah Klang yang mempunyai 32 cawangan, katanya.
Mengenai zakat terbabit, Zukri berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan wang zakat Bank Islam berjumlah RM9.2 juta bagi tahun kewangan 2012, berdasarkan keuntungan yang diraih oleh bank sebanyak RM600 juta pada tahun lepas.
"Kalau tahun lepas, keuntungan sebelum cukai adalah RM600 juta, tahun ini kita sasar peningkatan 10 hingga 15 peratus," katanya. - Bernama
0 Komentar untuk "Bank Islam mahu ke peringkat Asia Tenggara"